Sunday, June 23, 2019

“PEMBINAAN WATAK PEMIMPIN: KARISMATIK DAN BERJIWA BESAR” - SIRI 2



BERJIWA BESAR

Sahabat, pastinya seperti yang telah saya sebutkan di atas, bahawa dalam perjuangan ini pasti akan menghadapi pelbagai jenis mehnah dan ibtila’ yang kadang-kala tidak tercapai akal bahawa ujian tersebut boleh menguji kita, sama ada berbentuk nikmat atau berupa keburukan. Antara ujian yang biasa kita dengar dan mungkin ada dalam kalangan kita sudah menempuhnya adalah seperti halangan melaksanakan program, persengketaan dalam kalangan sahabat, pendapat kita tidak diterima, perlaksanaan keputusan tidak seperti yang dirancang, berlaku perubahan saat-saat akhir, rasa tidak dipedulikan, rasa terbeban dengan longgokan tugasan yang diberi, terpaksa bersetuju untuk tidak bersetuju dan banyak lagi ujian lain yang datang dengan tidak diangka seperti yang saya katakan tadi. Dalam situasi inilah seorang sukarelawan dakwah yang juga merupakan pemimpin kepada generasi memerlukan elemen Akhlaqul Kibar (Jiwa Besar).

            Jiwa besar merujuk kepada orang-orang yang penuh jiwa mereka dengan semangat yang tinggi, selalu menghindari perbuatan-perbuatan hina dan urusan yang remeh- temeh. Sehinggakan cita- cita dan keinginan mereka turut menolak untuk melakukan hal-hal yang sempit dan bersifat murahan. Pandangan mereka sentiasa menerawang tinggi, mereka tidak sibuk dengan hal dirinya sendiri. Mereka tidak marah dengan hanya satu perkataan (yang diucapkan kepada mereka) dan tidak pula merasa gembira (redha) hanya kerana satu perkataan (yang diucapkan). Iaitu bukan sifat orang yang sangat kagum terhadap pujian, bukan pula orang yang mudah marah terhadap satu celaan (Fadhilah Syaikh Dr. Khalid bin Utsman as-Sabt, 2013).

          Ia bukan pemilik jiwa rendah yang redha jika jiwanya masuk dalam kehinaan, serta mengharamkan syurga dunia ke atas dirinya, sebelum syurga akhirat. Syurga dunia yang dimaksudkan adalah ketenteraman hati, keramahan, serta kebahagiaan jiwa yang didapati hasil daripada meninggalkan hal-hal kecil dan remeh-temeh. Mereka inilah orang-orang besar (hebat), yang kita akan bicarakan, iaitu para pemilik jiwa besar itu. Mereka yang dimaksudkan dengan Al-Kibar (orang-orang besar), bukan orang-orang yang sudah lanjut usia. Juga bukan orang-orang yang telah berada di jawatan-jawatan yang tinggi, atau orang- orang yang memiliki status dan martabat yang tinggi di kalangan orang ramai. Sesungguhnya kami hanya membicarakan orang-orang yang memiliki jiwa besar dan dada yang lapang. Mereka adalah orang-orang yang tidak sibuk hanya kepada diri mereka dan tidak hanya berdiri kepada kepentingan peribadinya. Tetapi yang saya maksudkan adalah orang-orang yang hanya mementingkan kemaslahatan yang besar untuk Islam (Fadhilah Syaikh Dr. Khalid bin Utsman as-Sabt, 2013).

Orang-orang seperti itulah yang seharusnya kita hadam dan hayati akhlak dan sifat-sifat mereka. Kemudian kita sampaikan kepada seluruh manusia. Topik perbahasan ini saya bawakan kerana keperluan kita terhadapnya sangat besar. Kita sangat perlu membahas masalah ini, kerana kita sangat sering melalaikan masalah-masalah penting tersebut. Bayangkan, betapa banyak khitbah (lamaran) yang telah terputus sia-sia. Betapa banyak keluarga yang menjadi kucar-kacir. Betapa banyak kecintaan yang beralih menjadi permusuhan. Betapa banyak kerjasama dalam pekerjaan dunia atau dakwah yang menjadi kacau dan rosak. Juga betapa banyak hubungan yang telah terputus jalinannya. Semuanya gara-gara jiwa yang rendah. Gara-gara sibuk dengan kepentingan-kepentingan peribadi, yang seseorang menjadi redha dan marah hanya kerana kepentingan itu. Sehingga pada situasi dan keadaan apa pun, dia mencari kemenangan hanya untuk dirinya sendiri serta tidak menerima daripada sesiapa pun jika mengeluarkan kata-kata teguran, kesalahan atau kelemahan terhadapnya. Jika ini terjadi, maka tidak ada ampun maaf lagi, dia juga tidak akan mengingati kebaikan-kebaikan lalu yang telah dilakukan oleh orang tersebut tanpa mengingati perasaan kasih sayang dan hubungan yang ada. Semua ikatan yang wujud antara mereka sebelum ini dilupakan (Fadhilah Syaikh Dr. Khalid bin Utsman as-Sabt, 2013).

Maka dengan itu, jadilah pemimpin atau sukarelawan dakwah yang berjiwa besar. Berikut adalah antara 20 langkah yang saya boleh kongsikan bagaimana menjadi orang yang berjiwa besar:

1) Berani mengaku kesalahan yang anda lakukan. Hanya orang yang berjiwa kerdil sahaja yang suka menyembunyikan kesalahannya dan suka mencari kambing hitam.

2) Beranilah mengakui kekalahan, kelemahan dan keterbatasan anda. Semuanya itu tidak mencerminkan sikap rendah diri, tapi menunjukkan sikap yang sportif (terbuka).

3) Belajarlah memaafkan kesalahan orang lain. Hanya orang yang berjiwa besar sentiasa memaafkan, orang yang lemah cenderung mudah membenci dan menyimpan kesalahan orang lain.

4) Belajarlah untuk bersikap rendah hati. Hindari kebiasaan menyombongkan diri atas prestasi atau keunggulan apa pun yang anda miliki. Kesombongan biasanya mencerminkan harga diri yang rendah dari orang berjiwa kecil. Tapi kerendahan hati menunjukkan hargai diri yang tinggi orang yang berjiwa besar.

5) Beranilah bertanggungjawab atas apa pun yang anda katakana dan lakukan. Orang-orang berjiwa pengecut biasanya tidak berani bertanggungjawab, bahkan sering melemparkan tanggungjawab kepada orang lain.

6) Tingkatkan terus rasa percaya diri anda. Hindari kebiasaan membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Mereka mungkin lebih hebat dan lebih padu, tapi itu bukan ukuran untuk merasakan diri anda tidak bernilai.

7) Berusahalah untuk tetap bersikap tenang dalam situasi dan kondisi yang buruk. Hindari mengambil keputusan penting ketika fikiran dan perasaan anda sedang bercelaru, apatah lagi dalam keadaan emosional.

8) Biasakan diri anda untuk tidak takut mengambil risiko. Tempat yang aman dan kondisi yang selesa boleh membawa kepada status quo dan tidak baik bagi perkembangan jiwa anda.

9) Beranilah untuk mengalami kegagalan, kerana kegagalan memberikan banyak sekali pelajaran yang berharga. Orang-orang berjiwa besar biasanya dibesarkan oleh kegagalan, tapi sebaliknya orang-orang yang berjiwa kecil akan dilumpuhkan oleh kegagalan.

10) Bersikap optimis, pandanglah masa depan dengan penuh harapan. Belajarlah melihat hambatan sebagai tentangan yang mampu ditangani, dan masalah sebagai kesempatan untuk memperkasakan lagi jiwa watak anda.

11) Bersikap tegas dalam membela hak-hak anda. Jangan takut pada penolakan dan alergik kepada suatu perbedaan. Jangan berusaha menyenangkan semua orang apatah lagi dengan mengorbankan harga diri anda. Jangan merasa terganggu oleh sikap pro atau kontra selagi anda beridir pada prinsip yang benar.

12) Belajarlah untuk melihat semua persoalan secara profesional. Hindari kebiasaan membesar-besarkan masalah kecil. Jangan biarkan anda dipusingkan dengan urusan yang remeh temeh.

13) Belajarlah untuk menerima orang lain sebagaimana adanya. Jangan berusaha atau menuntut orang lain berubah sesuai dengan harapan dan keinginan anda. Namun tidak ada salahnya anda memotivasikan mereka agar lebih berkembang.

14) Belajarlah untuk melihat kebaikan dan keistimewaan orang lain. Dengan begitu anda tidak akan terganggu oleh kelemahannya.

15) Belajarlah untuk membuat orang lain bangga pada dirinya. Hanya orang berjiwa besar yang dapat membantu orang lain menjadi lebih percaya diri sendiri.

16) Belajarlah untuk ikut rasa gembira atas keberhasilan atau kejayaan orang lain. Rasa iri dan tidak suka atas kejayaan orang lain mengungkapkan harga diri yang rendah.

17) Biasakanlah untuk menghargai pendapat dan keyakinan orang lain meskipun berbeza pendapat dan keyakinan anda. Sempit akal sekali bagi orang yang menganggap dirinya tahu semua dan percaya bahawa dia sahaja yang betul.

18) Terimalah setiap kritikan dengan lapang dada, bukan dengan kemarahan dan penjelasan panjang lebar. Bagaimanapun bentuknya, sebetulnya kritik merupakan pemberian yang berharga bagi perkembangan diri anda.

19) Selesaikan setiap konflik dengan prinsip win-win situation (penyelesaian menang-menang). Masalah dapat diselesaikan tanpa ada pihak yang merasa dikalahkan oleh yang lain. Hanya orang-orang yang berjiwa kecil yang selalu ingin menang sendiri.

20) Berfikirlah secara besar, bercita-citalah yang besar dan berharaplah yang terbaik. Bahkan ketika anda menghadapi kenyataan sebaliknya, bertahanlah. Biarkan kebesaran jiwa anda terurai dalam pelbagai keberhasilan atau kejayaan dalam sesuatu yang diperjuangkan.


ANTARA TOKOH YANG BERJIWA BESAR

1)  IMAM AHLUS SUNNAH WAL JAMAAH, AHMAD BIN HANBAL RAHIMAHULLAH.

Ketika berlaku peristiwa fitnah tentang “Fahaman yang mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk”  Imam Ahmad telah dipenjara, dibelenggu, diseksa dan dipukul di bawah matahari terik pada siang hari Ramadhan dalam keadaan beliau berpuasa. Sehinga hilang ingatan beliau dan jatuh pengsan. Setelah itu beliau dipindahkan ke tempatnya di dalam penjara, dalam keadaan berlumuran darah, padahal beliau adalah seorang Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mudah-mudahan Allah SWT meredhainya. Beliau adalah Imam pada zaman itu. Walaupun demikian beliau tidak mencari kemenangan untuk diri sendiri. Beliau hanya marah kerana Allah SWT. Setelah kejadian ini beliau berkata: “Semua orang yang mengata buruk terhadap saya, maka saya telah menghalalkan mereka semuanya.” Beliau juga berkata, “Saya telah memaafkan Abu Ishaq kerana saya melihat Allah SWT berfirman:” 

{Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani}. [Surah An-Nur:22].

Imam Ahmad setelah diseksa dengan seksaan yang sangat berat, beliau tidak membuka diari dan catatan nama-nama musuhnya. Beliau tidak mencari siapa dalang di sebalik peristiwa yang menyebabkan datangnya seksaan yang menimpa beliau ini. Beliau tidak mengatakan: “Si fulanlah yang telah menjerumuskan saya ke dalam masalah ini ” atau “Si fulanlah yang membesarkan masalah ini”. Mungkin sebahagian orang menyangka bahawa Imam Ahmad akan mengambil tindakan terhadap orang-orang yang terlibat dalam fitnah tersebut. Apa yang jelas, beliau tidak ingin membalas dendam sedikit pun terhadap mereka.

2)   SYEIKHUL ISLAM IBNU TAIMIYYAH RAHIMAHULLAH.

Beliau adalah seorang ulama’ besar yang dituduh dan difitnah bahawa beliau telah melakukan banyak perbuatan buruk. Para ulama’ mengkafirkannya. Sultan juga memerintahkan agar beliau dibunuh. Bahkan sebahagian mereka memukul dadanya sambil mengatakan: “Darahnya berada di dalam leher saya“. Darah beliau dihalalkan dan beliau sentiasa dipindahkan dari satu penjara ke penjara yang lain di Damsyik dan Kaherah. Beliau berada dalam penjara untuk tempoh waktu yang sangat lama. Beliau dikeluarkan dari penjara sekejap dan tidak lama kemudian beliau disumbat lagi ke dalam penjara. Pada zamannya itu para golongan pembesar pengamal bid’ah, pengikut hawa nafsu, mereka yang dengki, yang hati mereka dipenuhi kemarahan dan hasad dengki, bersama-sama bangkit untuk menentang beliau.  Sedangkan beliau adalah seorang imam yang telah memenuhkan dunia dengan ilmu dan dakwahnya. Iaitu seorang imam yang mengekang perkembangan para pengamal bid’ah dan pengikut hawa nafsu dengan pedang-pedang sunnahnya. Kitab-kitab beliau sehingga kini menjadi saksi atas hal ini. Di antara musuh ketat yang paling memusuhi Syeikhul Islam, yang mengeluarkan fatwa bahawa telah halal darahnya, harus dibunuh dan telah kafir dan lain-lain lagi tuduhan, adalah seorang ulama’ dari fuqaha’  penganut mazhab Maliki. Lelaki itu bernama Ibnu Makhluf. Ibnu Makhluf meninggal pada masa hidupnya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Murid beliau yang bernama Ibnul Qayyim mendengar khabar kematiannya, lalu Ibnu Qayyim segera berlari menghadap Syeikhul Islam, demi memberitahu khabar gembira kematian musuh terbesar dan ketat yang bernama Ibnu Makhluf. Ibnul Qayyim berkata: “Bergembiralah! Ibnu Makhluf telah meninggal dunia.” Tetapi apa tindakan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah? Apakah beliau bersujud syukur atas kematian musuhnya itu? Apakah beliau mengatakan: “Segala puji bagi Allah SWT yang telah menyelamatkan kaum muslimin daripada keburukannya?” Sama sekali Ibnu Taimiyyah tidak mengatakan hal itu. Beliau tidak seperti sebahagian kita yang mengatakan: “Itu adalah batu kerikil yang telah dibuang dari jalan kaum muslimin. Kita sekarang bebas darinya.” Beliau sama sekali tidak mengatakan hal itu. Ibnul Qayyim berkata, “Bahkan beliau menegur dan memarahi perbuatan saya. Kemudian beliau beristirja’ ”. Setelah itu, Ibnu Taimiyah terus bangkit menuju ke rumah keluarga Ibnu Makhluf untuk mengucapkan takziah di atas kematiannya. Beliau berkata kepada ahli keluarga Ibnu Makhluf: “Saya sekarang sebagai pengganti Ibnu Makhluf dan jika kamu memerlukan  apa-apa bantuan, saya akan membantu kamu.” Sehingga seluruh keluarga Ibnu Makhluf menjadi gembira dengan kedatangan beliau dan mendoakan beliau dengan kebaikan.
     
Banyak lagi kisah tokoh berjiwa besar yang ingin saya ceritakan di sini demi untuk memberi kesedaran kepada diri ini sendiri dan juga anda semua. Seperti kisah Nabi Yusuf AS bersama abang-abangnya, kisah Nabi Sulaiman AS dan burung hud-hud dan tentu sekali kisah junjungan mulia kita Nabi Muhammad SAW.


KESIMPULAN

Berat sekali untuk saya merumuskan tentang perkongsian saya pada artikel kali ini bersempena muktamar agung yang telah menghimpunkan karakter-karakter hebat yang begitu komited dengan melaksanakan urusan pemeliharaan agama Allah SWT kerana masing-masing merasakan bahawa dia adalah orang kepercayaan Allah SWT di muka bumi ini.
Namun izinkan saya untuk mengatakan bahawa bagaimana pun hebatnya kita dalam urusan program atau petahnya kita dalam kepidato-pidatoan ceramah, lancarnya urusan organisasi kita dalam mengeratkan ukhuwwah sesama ahli, banyak mana pun pujian dan anugerah yang diperolehi, akan pasti tiba suatu mehnah yang menggugat keimanan kita dalam menegakkan prinsip perjuangan. Ia boleh datang dalam bermacam-macam bentuk dan pelbagai jelmaan. Kemudian pada saat itulah kita jiwa kita akan bergetar sama ada mampu bersabar dan selesaikan ia dengan penuh hikmah, atau tersentak melatah bagai anjing kena pukul. Dalam hal ini, Akhlaqul Kibar atau jiwa besar jugalah yang kita perlukan dalam situasi tersebut. Berlapang dada dan menerima segala ujian kerana percaya bahawa mehnah itu datangnya dari Tuhan. Diberikan kepada hambaNya yang dicintai dan dikasihi. Percaya bahawa dia sekarang berada dalam perhatian Tuhan. Dan ketahuilah sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang berada dalam perhatian Tuhan.  

Moga kita semua dalam merenungi semula sikap dan watak kita. Sentiasa berusaha memperbaiki diri dan ingin menjadi hamba Allah SWT yang cemerlang dan termasuk dalam golongan ‘Ibadurrahman’ (Hamba Yang Maha Pemurah). Saya mengajak para sahabat dan diri saya sendiri untuk sentiasa berusaha berjiwa besar dan hasilnya kita serahkan sebulatnya kepada urusan Allah SWT agar dikurniakan hidayahNya secara berterusan tanpa putus. Dan semoga kita semua dikurniakan kekuatan fizikal, akal dan hati dalam menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai sukarelawan dakwah atau pemimpin generasi yang penuh dengan cita-cita besar ini. 


RUJUKAN

Fadhilah Syaikh Dr. Khalid bin Utsman as-Sabt, H. (2013, April 15). Akhlak Orang Yang Berjiwa Besar. Retrieved from Abu Anas Madani: http://www.abuanasmadani.com/siri-01-akhlak-orang-yang-berjiwa-besar/

Fadzil, D. S. (2016, September). DR SIDDIQ FADZIL: SETIA RAKYAT DAN INTEGRITI PEMIMPIN. Retrieved from Wadah Utara: http://wadahutara.blogspot.com/2016/09/dr-siddiq-fadzil-setia-rakyat-dan.html

Ibrahim, A. (2009, September 17). Kupasan Karya Ronggo Warsito. Retrieved from anwaribrahimblog.com: http://anwaribrahimblog.com/2009/09/17/kupasan-karya-ronggo-warsito/

Masyhur, M. (1985). Jalan Dakwah. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.

Naziha, A. (2011, Januari 21). Mehnah dan Tribulasi. Retrieved from Terus Melangkah: http://islam-addeen.blogspot.com/2011/01/mehnah-dan-tribulasi.html



(Makalah ini dibentangkan dalam Muktamar SISMA Tahun 2018 pada 19 Ogos 2018)

No comments:

Post a Comment

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..