Sunday, April 19, 2020

STRATEGI PEMBINAAN BUDAYA ILMU DALAM KALANGAN GENERASI MUDA ISLAM - SIRI 1


STRATEGI PEMBINAAN BUDAYA ILMU DALAM KALANGAN GENERASI MUDA ISLAM

Mohd. Nur Hilmie Bin Milus


Pendahuluan

            Prof. Paul Kennedy dalam bukunya“The Rise and Fall of the Great Powers: Economic Change and Military Conflict from 1500 – 2000” telah menganalisis terdapat 2 faktor utama yang saling berkaitan berkenaan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah Negara. Faktor-faktor tersebut adalah tentang kewibawaan sistem dan kuasa ekonomi, dan kekuatan teknologi ketenteraan. Analisa ini dibuktikan melalui kajian beliau terhadap jatuh bangun kuasa-kuasa besar pada abad ke-16 hingga ke-20 masihi seperti kerajaan Islam Turki, Mughal India, Dinasti Ming China, Jepun, Rusia dan lain-lain. Namun demikian, Profesor Wan Mohd. Nor Wan Daud telah menganalisis lebih dalam lagi dasar kewujudan kedua faktor utama di atas adalah akibat daripada kepuasan, keangkuhan, kejumudan dan kebebalan sikap mereka terhadap ilmu. Hal ini adalah sebab utama kelemahan sistem ekonomi dan ketenteraan mereka lumpuh dan akhirnya mengalami kejatuhan. Terdapat benarnya penyataan ini apabila tokoh pemikir ulung peringkat antarabangsa, Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas mengungkapkan bahawa kelemahan yang terdapat pada sistem-sistem utama dalam Negara merupakan jelmaan gejala “kekeliruan dan penyelewengan dalam ilmu”.

Demikian juga apabila tokoh kebanggaan Islam di Turki, Badi’uzzaman Said Nursi menyatakan bahawa masalah dan cabaran besar bagi kaum Muslimin adalah kejahilan, kemiskinan dan perpecahan. Namun, Prof. Al-Attas telah mengemukakan analisis beliau bahawa kebolehan mengenalpasti masalah dan cabaran adalah satu hal besar yang perlu diperdalamkan lagi. Beliau telah mempertautkan cabaran tersebut yakni punca sebenar bagi permasalahan kaum Muslimin sebagai suatu tambahan untuk melengkapkan pernyataan Said Nursi tadi. Dalam hal inilah renungan dan analisis Prof. Al-Attas dikira brilliant apabila beliau menyatakan bahawa cabaran Muslimin adalah seperti berikut:

1.     Kekeliruan dan kesalahan dalam ilmu yang menyebabkan keadaan:
2.  Kehilangan adab dalam kalangan umat. Keadaan yang timbul dari (1) dan (2) adalah:
3.   Kemunculan pemimpin-pemimpin yang tidak layak untuk kepimpinan yang sah bagi umat Islam, yang tidak memiliki taraf modal, intelektual dan spiritual yang tinggi yang disyaratkan untuk kepimpinan Islam, yang melestarikan keadaan pada (1) di atas dan menjamin penguasaan urusan umat yang berkelanjutan oleh pemimpin-pemimpin seolah seperti mereka yang menguasai semua bidang.

Dalam hal ini juga ia telah melanggar apa yang pernah dikatakan oleh Ibnu Khaldun iaitu “Tindakan Awal, Fikir Akhir”  dan “Begin with the end in mind” dari Stephen Covey bahawa betapa pentingnya peranan ilmu sebagai langkah terawal yang perlu diberi penekanan bagi melahirkan pemimpin yang sejati, punya adab serta layak memimpin sebuah bangsa. Kenyataan ini juga dapat dibuktikan kekukuhannya menerusi idea gaya pemikiran ‘water logic’ oleh Edward De Bono yang mana untuk menyelesaikan suatu permasalahan secara kritis dan tepat, adalah perlu untuk mencari bibit punca sebenar masalah tersebut dan bertindak membendungnya bermula dari situ.

Melalui pandangan dan pengalaman dunia Islam pula, pada era nubuwwah dan sistem khilafah, dunia Islam begitu pesat berkembang dan sangat membanggakan.  Kejayaan ini seperti yang telah kita maklum, ia bermula pada zaman kerasulan Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda menerima wahyu pertama membawa kalimah ”Iqra” yang bermaksud “Bacalah”, sekaligus arahan daripada Rabbul Jalil kepada makhlukNya agar menimba dan mengumpul sebanyak mungkin ilmu pengetahuan untuk difahami dan dihayati. Seruan ini telah mengubah dan memberi suatu anjakan paradigma umat manusia agar beralih dari belenggu kejahilan dan kegelapan menuju kepada jalan yang penuh cahaya kebenaran. Sejak dari itu, pelbagai episod kejayaan umat Islam dikecapi sehingga berjaya membuka 2/3 dunia ketika sampai ke zaman kemuncaknya melalui peristiwa pembukaan kota Konstantinopel oleh kerajaan Byzantine yang diketuai Sultan Muhammad Al-Fateh pada tahun 1453 Masihi. Tetapi kejayaan ini tidak berkekalan apabila berlaku kewujudan Pemimpin Palsu yang lahir dari fenomena kekeliruan dan kepalsuan ilmu oleh serangan Kebudayaan Barat dalam negara-negara dunia Islam3. Akhirnya, kesatuan khilafah yang dibanggakan ini berjaya dipecahkan oleh Barat melalui pengenalan dasar “Pecah dan Perintah”.

          Meskipun Negara-negara Islam telah mencapai kemerdekaan, namun kita masih lagi mengalami penjajahan. Hal ini kerana kita masih belum membebaskan diri daripada pembangunan sebenar, malahan masih tertakluk kepada melihat dan menilai pembangunan itu secara fizikal semata-mata, bukan pembangunan dari sudut rohani dan mentaliti. Kita masih gagal dalam perihal keilmuan kerana kita masih tidak mampu membebaskan diri daripada mengikut konsep pembangunan ala Barat. Negara Islam masih lagi dalam penjajahan ekonomi, kebudayaan, fizikal dan terutamanya pemikiran. Bagi mereka yang sedar tentang kelemahan ini, mereka melihat bahawa Negara Islam masih sedang dalam usaha membebaskan kaum Muslimin daripada penjajahan pemikiran ini (Ghuzwatul Fikr). Sehinggakan kita dalam masyarakat Negara Islam ini belum lagi boleh menyumbang kepada tamadun melalui hasil yang benar-benar diperolehi daripada pemikiran tamadun Islam seperti mana kejayaan tamadun Islam yang terdahulu.

Budaya Ilmu

Faktor kewujudan permasalahan di atas adalah disebabkan kurangnya perhatian untuk mempelajari dan membudayakan ilmu-ilmu yang bersifat tulen. Yang mana akhirnya melahirkan ahli-ahli masyarakat yang bebal dan bersikap anti-ilmu. Hal ini kerana ilmu itu sifatnya benar, tulen dan tidak palsu. Pihak kebudayaan Barat telah memperkenalkan sebuah teori pemikiran songsang yang dinamakan Sekularisme. Teori ini bertujuan untuk memisahkan segala urusan keduniaan daripada konteks agama sebagaimana yang diyakini oleh umat Islam. Ia telah diserap masuk ke dalam konteks keilmuan Islam dan tercetusnya faktor permasalahan umat seperti mana yang telah saya sebutkan tadi. Seorang muslim mesti mempercayai bahawa ilmu itu datangnya dari Rabbul Jalil dan kedatangan punca ilmu itu pun adalah dari Dia Yang Maha Berpengetahuan Luas. Akidah Islam wajib mempercayai bahawa Allah itu Maha Benar, maka segala perkara yang datang dari Tuhan itu adalah benar, dan ilmu itu juga semestinya bersifat benar. Hal inilah saya maksudkan di sini tentang ilmu yang tulen.

Namun kini, agak sukar untuk kita membezakan ilmu yang tulen dan palsu. Oleh itu, haruslah kita kembali kepada definisi makna ilmu itu sendiri agar tidak lari dari tujuan asal.  Apa yang dimaksudkan dengan ilmu? Menurut Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, beliau telah menakrifkan perihal ilmu sebagai “Merujuk kepada Allah sebagai asal segala ilmu, ia (ilmu) adalah ketibaan makna dalam diri seseorang. Apabila merujuk kepada diri sendiri sebagai penafsir, ilmu adalah ketibaan seseorang kepada makna tentang sesuatu”. Takrifan ini secara ringkas dan padat serta lengkap membayangkan peranan Allah SWT sebagai sumber sebenar ilmu, serta diri manusia sebagai makhluk aktif untuk mendapatkan ilmu. Dalam Islam, sumber ilmu merupakan akidah Islamiah yang mengithbatkan keupayaan manusia bagi mencapai ilmu, yakni keyakinan, adalah melalui pancaindera yang sempurna, penggunaan akal yang betul dan khabar yang benar. Keyakinan, sama ada pada tahap ilmul yaqin, ainul yaqin atau hakkul yaqin ialah anugerah Allah kepda manusia. Oleh itu, pada tahap keyakinan, hasil pencapaian keilmuan manusia bukan lagi bersifat manusia, tetapi Ilahi. Ilmu yang mencapai yakin, yakni bukan tahap hipotesis, teori, syak, zan, dugaan dan waham ialah akibat daripada “pengajaran” Allah SWT, dan bersifat universal, bukan relatif. Terdapat juga 2 sumber ilmu di atas yang ada pada pengetahuan Barat, iaitu pada pancaindera dan penggunaan akal rasional, dan ia hanya ada pada takat itu. Tetapi pengetahuan Barat tidak mempunyai perkhabaran yang benar sebagaimana wujud dalam akidah Islam seperti yang telah diterangkan tadi.Oleh hal yang demikian, untuk mencapai makna tepat di atas dalam diri seseorang, perlu satu gerakan pencarian ilmu, memahami serta menghayatinya, dan akhirnya diterjemah dalam bentuk perbuatan dan tindakan. Perihal inilah yang dinamakan gerakan Budaya Ilmu.

Budaya ilmu antara maksud lain adalah kewujudan suatu keadaan yang mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, baik secara langsung ataupun tidak dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan. Budaya ilmu juga merujuk kepada suatu keadaan yang mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahupun perbincangan syura.

Ilmu Menuju Hikmah

"Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al-Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui." (al-Baqarah: 151)


Menurut daripada potongan ayat di atas, dijelaskan tentang ketinggian tahap hikmah berbanding ilmu pengetahuan, maklumat, kemahiran, fakta dan data. Hikmah merupakan sebuah ucapan yang sesuai dengan kebenaran, falsafah, perkara yang benar dan lurus, keadilan, pengetahuan, dan lapang dada. Tahap-tahap hikmah boleh dilihat dan diteliti dalam gambarajah di bawah. Definisi hikmah dari sudut bahasa mempunyai 9 pengertian; keadilan, tahan marah, kenabian, suatu yang tidak memperlihatkan kejahilan, tiap-tiap perkataan yang bertepatan dengan haq (kebenaran), meletakkan sesuatu pada tempatnya, perkataan yang bertul dan tepat, sesuatu yang mencegah berlaku kerosakan, mengetahui sebaik-baik perkara dengan sebaik-baik ilmu.

Hikmah dapat dicapai bermula daripada data dan fakta yang diperolehi melalui pengalaman peristiwa serta uji kaji yang dilaksanakan. melalui data dan fakta tersebut, dapatan maklumat akan menyusul sebagai pengetahuan am, dan ia bertukar menjadi ilmu sekiranya maklumat tadi memberi ketibaan makna pada diri seseorang dengan kaedah berfikir. Kemudian apabila diperdalamkan lagi ilmu tersebut, dengan mencari pelbagai penjelasan dari segenap pandangan, akan muncul suatu kefahaman yang kukuh dalam pemikirannya. Akhir sekali akan diterjemahkan kefahamannya tadi dalam bentuk tindakan pada tahap yang terbaik agar dapat dirasai oleh orang lain dan dirinya sendiri. Di situlah capaian maknanya kepada Hikmah.


No comments:

Post a Comment

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..