Sunday, April 19, 2020

STRATEGI PEMBINAAN BUDAYA ILMU DALAM KALANGAN GENERASI MUDA ISLAM - SIRI 2




Pembinaan Budaya Ilmu Dalam Generasi Muda

          Generasi muda merupakan pelapis masa depan Negara. Golongan inilah yang bakal menentukan nasib baik atau buruk sesebuah masyarakat bangsa di masa akan datang. Melalui pengalaman-pengalaman tamadun dan kuasa-kuasa besar yang telah dijelaskan dalam pendahuluan di atas, amatlah perlu untuk mempersiapkan generasi ini dengan sikap keilmuan yang tinggi bagi memastikan kesilapan di masa lampau tidak berulang kembali serta dijadikan sempadan. Untuk memastikan nasib masyarakat bangsa di masa hadapan terjamin, wajib bagi kita berusaha untuk mempersiapkan pemimpin yang baik, berintegriti, luhur, budi pekerti, berpengetahuan, bijaksana, punya kreadibiliti dan daya saing, bersikap adil dan saksama dan sewaktuu dengannya. Dan usaha itu haruslah bermula daripada sekarang, iaitu menyasarkan para generasi muda untuk sentiasa bersedia dibentuk.

Dalam Majlis Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) PKPIM kali ke-54 tahun 2016, Saudara Mohd. Fazril Saleh, Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), telah membawa sebuah gagasan besar dalam ucapan dasar beliau yang bertajuk, “Membangun Generasi Bitara: Terampil dan Berkemajuan”. Dalam ucapan dasar tersebut, telah disebutkan tentang penekanan terhadap jiwa generasi bitara dan 4 elemen terpenting yang digelar sebagai lingkungan kebitaraan. Apa yang dimaksudkan dengan bitara? Bitara merupakan gabungan dari dua perkataan yang berasal daripada bahasa Parsi iaitu ’Bi’ yang bermaksud Tidak atau Tiada, manakala ’Tara’ bermaksud Tahap, Takat dan Had, apabila digabungkan menjadi Bitara iaitu Tiada Had atau Tiada Tahap, apabila dikaitkan dengan generasi Bitara, ia bermaksud seorang individu yang mempunyai pemikiran dan kemahiran yang agresif dan aktif, mempunyai cita-cita menggunung dan meluas, tiada hadnya. Seperti yang telah disebutkan di atas, untuk mencapai tahap generasi bitara, ia memerlukan ’Lingkungan Kebitaraan’ yang dibangunkan atas empat (4) elemen pembinaan, iaitu Idealisme, Intelektualisme, Aktivisme dan Spiritualisme. Idealisme adalah kekuatan azam memasang matlamat, visi dan misi; harus dipandu dengan kekuatan ilmu dan aktiviti pemikiran yang mendalam, iaitu intelektualisme. Kedua-duanya ini mesti berkait agar ia tidak sekadar tinggal matlamat tanpa ada usaha untuk menyusun strategi bagi mencapai visi tersebut. Aktivisme pula adalah terjemahan kepada strategi yang disusun untuk mencapai matlamat tadi. Ia adalah hasil jelmaan dari idealisme dan intelektualisme. Kemudian ketiga-tiganya ini harus dipandu dan dikawal oleh spiritualisme untuk memastikan ketiga-tiga elemen tadi (Idealisme, Intelektualisme dan Aktivisme) sentiasa dalam landasan. Untuk melahirkan generasi pemimpin yang baik dalam segala lapangan, dia mestilah bertitik tolak daripada penguasaan ilmu yang sejati sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Prof. Al-Attas. Sehubungan dengan itu, gagasan besar ini sesungguhnya amat memerlukan kesabaran yang tinggi untuk dicapai. Sebab itu kita akan melihat pada mereka akan ternyata ruginya bergopoh dan tergesa-gesa, malah untungnya beratur-rapih dalam melaksanakan perjuangan memanjang ini.


Cabaran Pembudayan Ilmu

          Meskipun telah diterangkan tadi bahawa pentingnya peranan pembudayaan ilmu dalam pembangunan bangsa, namun masih terdapat cabaran-cabaran yang membawa kepada pertentangan gagasan besar ini. Antara cabaran besar yang timbul adalah wujudnya sikap sufasta’iyyah dari golongan Anti-Ilmu atau gelarannya para sofis. Prof. Al-Attas telah membahagikan golongan ini kepada 3 kelompok:

1.     Kelompok al-la adriyyah.
2.     Kelompok al-indiyyah.
3.     Kelompok al-inadiyyah.

Kelompok pertama iaitu al-la adriyyah disebut sebagai agnostik, merujuk kepada kelompok individu yang selalu mengatakan tidak tahu (la adri, iaitu ”saya tidak tahu”) atau selalu ragu-ragu tentang keberadaan sesuatu sehingga menolak kemungkinan ilmu pengetahuan. Orang seperti ini pada gilirannya juga akan meragui sikapnya yang serba meragui keberadaan segala sesuatu.

Kelompok kedua pula iaitu al-indiyyah adalah mereka yang selalu bersikap subjektif. Bebrbeza dengan kelompok yang pertama, kelompok ini menerima kemungkinan keberadaan ilmu pengetahuan dan kebenaran, tetapi menolak matlamatnya. Bagi mereka, matlamat ilmu pengetahuan dan kebenaran adalah subjektif atau indi atau ”menurut saya” atau hanya bergantung dan yakin dengan pendapatnya sahaja.

Kelompok yang ketiga pula, al-inadiyyah adalah merujuk kepada mereka yang keras kepala. Sentiasa menafikan realiti segala sesuatu (haqa’iq al-asyya’) dan menganggapnya sebagai fantasi (auham) dan khayalan semata-mata, bersifat teori, berada di awang-awangan dan menganggapnya tidak membumi kepada masyarakat. Kelompok terakhir ini lebih mirip dengan kelompok kedua tadi. Para sofis tidak akan dapat menjelaskan kedudukan mereka. Kalaupun ada, satu-satunya kedudukan yang sesuai untuk mereka ialah mendekontruksi setiap wacana keilmuan. Sikap para sofis sudah jelas tidak Islamik kerana para ahli falsafah Muslim seperti al-Farabi, menempatkan kejayaan dalam mencapai suatu keyakinan sebagai tahap akhir daripada proses belajar.

Saya menjelaskan ini adalah kerana hendaklah kita merenung dan memikirkan kembali, adakah wujud sikap kelompok-kelompok ini dalam masyarakat bangsa kita atau lebih dekat lagi, dalam kalangan ahli gerakan jamaah kita ini sendiri? Tujuan persoalan ini adalah untuk koreksi diri masing-masing tentang sikap kita dalam meletakkan keutamaan ilmu sebagai titik-tolak utama bagi sebuah gerakan perlaksanaan program-program.


Strategi Pembinaan

Menurut Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud dalam bukunya bertajuk ”Budaya Ilmu”, beliau telah mengemukakan beberapa cadangan untuk menyuburkan budaya ilmu. Antaranya ialah memupuk kecintaan terhadap ilmu pengetahuan serta kegigihan menimba, menyebar dan mengamalkannya untuk dianggap sebagai suatu idealisme dan kebaikan tertinggi yang menjadi punca segala kebaikan yang lain. Hal ini menjelaskan betapa pentingnya menerapkan rasa cinta yang mendalam terhadap ilmu dalam jiwa generasi muda kerana ia akan menjadi faktor atau sumber kebaikan-kebaikan lain yang akan dilakukannya atas dasar kesedaran perlu untuk menyebarkan dan mengamalkan serta mengajak orang lain untuk turut sama berada dalam lingkungan kebaikan. Bayangkan suatu keadaan di mana orang muda akan bertindak untuk berbakti kepada masyarakatnya tanpa diarah atau minta dibayar satu sen pun kerana mereka berlaku demikian atas usaha ingin menabur jasa ilmu kepada bangsanya. Sebab itu wujud motto perjuangan ”Berilmu Menabur Jasa” dan ”Hidup Biar Berjasa” pada sebuah entiti anak muda terpelajar iaitu Siswazah Muda ABIM Sabah (SISMA) di bawah naungan PKPIM dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)Negeri Sabah. Motto perjuangan ini jelas menunjukkan komitmen keilmuan sekelompok generasi muda untuk terus giat menimba ilmu dan menaburkannya kepada orang lain sebagai tanda jasa bakti kepada masyarakat bangsa. Oleh yang demikian, antara strategi lain yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan oleh ger.akan Islam seperti jamaah Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), ABIM, PKPIM dan SISMA adalah sentiasa menggalakkan siri perbincangan mengenai tokoh-tokoh ilmuwan dan karya-karya agung mereka, menganjurkan siri-siri wacana buku dan ilmu secara berterusan selain daripada seminar-seminar umum yang dianjurkan setiap tahun dan  membaca dan usaha untuk menghuraikan idea-idea utama para ilmuwan, ulama dan tokoh pemikir yang terbukti hebat sumbangannya dalam lipatan sejarah seperti Ibnu Khaldun, Confucius, Imam Ghazali, Mahatma Gandhi, Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syamsuddin al-Sumaterani, Falimbani, Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Edward De Bono, Stephen Covey, Malek Bennabi, Raja Ali Haji dan lain-lain yang tidak sempat disebutkan di sini. Hal ini kerana dengan usaha menyoroti dan menghurai idea-idea utama dalam karya mereka, kita secara tidak langsung akan dihubungkan kepada para ilmuwan silam yang mana ilmunya terus sampai kepada Rasulullah SAW.

Dengan mempersiapkan generasi seperti ini, akan wujud satu kesedaran besar dalam jiwa insan untuk memastikan kelangsungan masyarakatnya sentiasa dalam keadaan yang baik dan sejahtera. Oleh yang demikian, misi pembangunan umat akan terus berjalan kerana wujudnya legasi atau kelompok anak muda terdidik yang menjadi penerus atau pelangsung kepada visi membina dan memimpin umat yang terbaik.

Kenapa Generasi Muda Perlu Pada Penguasaan Ilmu?

          Dalam pembinaan generasi yang berkepimpinan, berkemahiran dan berkomitmen tinggi, mereka ini mestilah dididik dan dilatih untuk menguasai ilmu. Hal ini kerana, dalam gerakan membina kepimpinan masa depan, haruslah dilatih dalam sebuah entiti gerakan berpersatuan. Mereka (generasi muda) yang digelar aktivis akan dilatih secara berperingkat.

   1. Menurut arahan. Dalam peringkat pertama ini, aktivis dididik dan dilatih untuk sentiasa        menerima arahan dan bersedia melaksanakan arahan serta-merta dengan tangkas.

   2. Kordinasi dan komunikasi. Peringkat ini adalah melatih aktivis untuk tahu menguruskan program aktiviti dain.an ahli jawatankuasa yang selaras dengan perbincangan dalam mesyuarat serta mampu mencapai sasaran objektif.


3    3. Pimpinan. Tiba masa aktivis tadi naik ke satu tahap di mana dia perlu memimpin  organisasi ke arah mencapai visi dan misi, perlu menghadam idea-idea utama pimpinan dalam jamaah yang terdahulu seperti karya tulisan Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Prof. Dr. Razali Nawawi, Prof. Dato’ Dr. Redzuan Othman, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, Prof. Dr. Abdul Halim El-Muhammady, Hj. Mokhtar Ramli, ucapan-ucapan dasar presiden jamaah, kertas-kertas kerja pembentangan dalam Tamrin atau Muktamar dan lain-lain. Namun demikian, tidak cukup hanya menghadam idea pimpinan jamaah sendiri, perlu juga menghadam idea-idea tokoh-tokoh lain di luar daripada pimpinan jamaah untuk sedia berdepan dan bekerjasama dengan gerakan Islam serta bukan Islam yang lain. Tuntutan untuk kita memimpin jamaah juga memerlukan kekuatan daya intelek dan idea, kreativiti yang tinggi, inovasi dan bersikap kritis. Kemampuan menerobos masa depan, mengenalpasti cabaran dan realiti setempat, kebolehan memperjuangkan isu-isu bersama, berlapang dada dalam hal-hal perbezaan dan pendekatan. Di sini perlunya pandangan alam Islam yang berasaskan keadilan, kebenaran dan kemanusiaan. Oleh itu, ditegaskan bahawa pentingnya pembudayaan ilmu!

Kesimpulan

Menurut daripada yang telah dijelaskan di atas, kita dapat menemukan bahawa daya pencapaian sesuatu bangsa adalah ditentukan oleh kekuatan budaya ilmunya. Kemudian generasi muda bangsa itu mesti dipersiapkan kekuatan budaya ilmunya bagi memastikan kelangsungan daya pencapaian mereka terus kekal malah menningkat daripada sebelumnya.

          Menekankan semula elemen penting yang perlu diperkuatkan bagi generasi muda adalah kekuatan mindanya dalam merenung peristiwa, berfikir dan mencerna untuk mendapatkan makna ketibaan dalam dirinya (ilmu). Setelah itu, diterjemahkannya dalam bentuk perbuatan atau tindakan agar orang lain dapat merasai dan menghayati apa yang telah dirasai melalui pengalaman keilmuannya. Hal ini sama seperti yang dijelaskan tadi tentang lingkungan kebitaraan. Memupuk generasi agar mampu menghasilkan idealisme sebagai misi dan matlamat perjuangannya. Setelah itu, difikirkan bagaimana caranya untuk mencapai matlamat yang digagaskan dengan menggunakan kekuatan intelektualisme, dan akhirnya akan diterjemahkan hasil pemikiran tersebut dalam bentuk aktivisme kepada masyarakat. Kekuatan spiritualisme perjuangan Islam harus bertindak sebagai aspek kawalan agar segala pemikiran dan tindak-tanduk aktivis tidak tersasar daripada ruh perjuangan Islam, menetapkan misi mengajak umat untuk kembali kepada fitrahnya iaitu ke arah mentauhidkan Allah SWT.

          Akhirnya, pembinaan teras kekuatan budaya ilmu pada kaum generasi muda Islam perlu dimasukkan dalam senarai utama perlaksanaaan gerakan Islam. Hal yang demikian agar masih wujud kelompok masyarakat yang sentiasa memberikan komitmen keilmuannya demi memastikan matlamat membina dan memimpin khayra ummah itu tercapai.

(Tulisan artikel ini telah diterbitkan dalam buku "Kebitaraan Pemikiran Belia" terbitan ABIM Sabah, Akademi Sejarah & Kajian Masa Depan Sabah dan Pustaka Aslam)






Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..