Sunday, June 23, 2019

“PEMBINAAN WATAK PEMIMPIN: KARISMATIK DAN BERJIWA BESAR” - SIRI 1



“PEMBINAAN WATAK PEMIMPIN: KARISMATIK DAN BERJIWA BESAR”

Mohd Nur Hilmie Milus
Setiausaha ABIM Sabah

MUKADIMAH

Dunia kini sedang dilanda kemelut isu yang pelbagai. Setiap hari kita menyaksikan ada saja isu-isu baharu yang kadang-kala tidak terlintas dibenak fikiran kita bahawa wujud masalah yang mustahil boleh berlaku. Tidak cukup dengan isu sosial seperti arak dan judi, zina dan seks luar tabi'e, datang lagi isu sumbang mahram dan penderaan anak-anak yang tidak berkesudahan. Kemudian belum sempat buka kitab tafsir Surah An-Nisa', digemparkan lagi dengan isu hak asasi LGBT. Ketahui wahai saudara saudari sekalian, dunia atau Negara ini sudah tidak aman, izinkan saya memetik puisi dari seorang penyair jawa Indonesia terkenal, Ronggowarsito (Ibrahim, 2009);



Amenangi jaman edan, (Mengalami zaman gila)
Ewuh aya ing pambudi, (Sukar sulit (dalam) akal ikhtiar)
Milu edan nora tahan, (Turut gila tidak tahan)
Yen tan milu anglakoni, (Kalau tak turut menjalaninya)
Boya kaduman melik, (Tidak kebagian milik)
Kaliren wekasanipun, (Kelaparanlah akhirnya)
Ndialah karsa Allah, (Takdir kehendak Allah)
Begja-begjane kang lali, (Sebahagia-bahagianya yang lupa)
Luwih begja kang eling lawan waspada. (Lebih berbahagia yang sedar serta waspada)


(Sarat Kalatidha, Ronggowarsito)

Teman, mengambil ibrah dari syair tersebut, menerangkan bahawa zaman ini sudah gila kerana ketamakan serta kepuasan manusia kini sudah melebihi sifat manusia itu sendiri. Berani saya mengatakan bahawa ada dalam kalangan kita di tengah-tengah kelompok umat ini, manusia yang sudah tidak menjadi manusia. Hal kerana alasan yang telah saya sebutkan di permulaan perenggan ini dan banyak lagi sebabnya yang tidak mampu saya sertakan dalam makalah ini kerana makin banyak saya sertakan, makin tertunduk malu saya akibat perlakuan dan kerakusan bangsa saya sendiri. Sehingga semakin sulit dan sukar akal saya mengikhtiarkan apa lagi patut saya buat untuk menyelamatkan bangsa saya. Boleh meracau dan gila dibuatnya kalau tidak ada daya ketahanan mental dan fizikal. Tapi kita sebagai manusia beriman harus menyedari bahawa inilah karsa (kehendak/takdir) Allah SWT. Untuk memberi ingat kepada sekalian manusia, bahawa walau bahagia mana pun orang-orang yang lupa (takdir Allah), lebih bahagia lagi orang-orang yang sedar (ingat) dan berwaspada. Pada frasa di sinilah kita sebagai penggerak dan pemimpin Islam memacakkan niat sedalamnya, untuk sentiasa ingat, dan juga memberi ingat kepada orang lain agar sama-sama berwaspada dari dugaan nikmat sementara ini demi mencapai kebahagiaan hakiki di hari perhitungan kelak.

SUKARELAWAN DAKWAH

Gagasan manusia terbaik menurut hadis junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, riwayat Thabrani dan Daruquthni, للناس أنفعهم الناس خير  (“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain”) haruslah kita jadikan ia sebagai pegangan prinsip sebagai seourang sukarelawan dakwah.Hadis tersebut wajib difahami dan dihayati  sepenuhnya agar ke semua kita ini yang sedar akan konsep keinsanannya akan terus berebut dan berusaha sehabis baik untuk bergelar sebaik-baik manusia. Dan pada masa yang sama juga kita mendapat imbuhan pahala amal dengan berlumba-lumba berbuat kebaikan (fastabikhul khairat).

            Kerja sukarelawan ini bukanlah kerja yang sia-sia, tetapi ia adalah suatu kerja yang telah dijanjikan oleh Allah SWT perihal keuntungan lumayan bagi sesiapa yang bekerja sukarelawan ini. Memetik dari Surah As-Saff ayat 10 hingga 12:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (10) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya) (11) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar (12) Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman (13)”

Sudah terang lagi bersuluh menerusi kitab suci Al-Quran yang mengandungi bait firman Allah SWT, Tuhan alam semesta ini, telah menjanjikan keuntungan pengampunan dosa dan sebaik-baik tempat tinggal yang kekal abadi iaitu Syurga Adn. Cuba fikirkan, nikmat paling lumayan apakah lagi yang kita kehendaki di dunia ini sekiranya Allah SWT menawarkan nikmat terbesar yang tidak terkira ini. Tetapi setiap ganjaran tersebut, pasti akan tertunai kepada mereka yang menjalankan perniagaan berjuang menegakkan agama Allah SWT yakni Islam dengan bermodalkan harta benda kepunyaan, tenaga, masa, buah fikiran dan seluruh jiwa kita ini diserahkan sepenuhnya kepada jalan sukarelawan menyebarkan rahmat agama Islam yang indah ini.

Sukarelawan dakwah amat diperlukan untuk menggerakkan agenda pencerahan umat. Gerakan pencerdasan dan pencerahan ini bukan hanya tertakluk kepada dakwah sesame Islam sahaja, tetapi ia merakamkan suatu kesaksian berprestasi cukup bererti khususnya dalam lingkaran dakwah yang lebih luas dan inklusif. Lintasan berbeda agama dan bangsa, berdialog secara intensif dan ekstensif dengan warga bukan Islam. Kita menyambut memaknai seruan umat ukhrijat linnas (dilahirkan untuk manusia) menyantuni umat sejagat (Fadzil, 2016). Maka dengan itu wahai sahabat seperjuangan sekalian, fikir dan renungkanlah, untuk apa kita dilahirkan ke dunia ini, menggalas penuh tugasan atau menjadi beban.


SUNNATULLAH DAKWAH

Teman saya hormati, setelah kita beransur-ansur melalui fasa-fasa tarbiyah dalam menggerakkan agenda perjuangan ini, yang mana kita fikir telah sesuai dengan cara, alat dengan segala kemungkinan menurut kemampuan yang ada pada kita sama individu atau berkumpulan, semuanya itu hanyalah sebagai batu-bata yang masih mentah. Setelah semuanya itu beres, berjalanlah di atas sunnatullah dengan ibtila’ dan mehnah untuk membersihkan dan membezakan di antara yang tulin dan palsu, di antara yang benar dan yang dusta, di antara yang emas dan tembaga supaya orang-orang yang beriman akan bertambah imannya (Masyhur, 1985). Kerana sudah tersurat dalam Surah Al-Ankabut ayat 2 dan 3:

Maksudnya: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji? (2) Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah SWT pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.”

Seterusnya dalam Surah Al-Baqarah ayat 214:

Maksudnya: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akna masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan macam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan prang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Apa yang cuba saya sampaikan di sini adalah setiap perjuangan itu pasti akan ada mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi sama ada bersedia ataupun tidak bersedia. Jika masa ini telah tiba, pelbagai watak dan perangai akan timbul kerana begitulah sikap manusia sekiranya tidak bertoleransi dalam meraikan kepelbagaian pandangan dan pendapat (adabul ikhtilaf). Dan masa kejadian inilah yang akan menampakkan watak kita yang sebenarnya semasa bergelumang dalam menyelesaikan masalah konflik dan krisis, samada luaran mahupun dalaman, tetapi lebih hebat dan mencabar dugaan tersebut jika ia berlaku secara dalaman. Fitrah kehidupan, kita pasti melalui pelbagai rintangan dan dugaan. Sejak kita bergelar insan, ujian demi ujian menanti kita di hadapan. Cuma terpulang kepada kita untuk melangkah melepasi rintangan atau duduk di takuk yang lama, yang tidak membawa sebarang kelebihan, peningkatan atau penghijrahan pada diri kita sendiri. Kita selalu merungut bila diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran, namun hakikat yang sebenarnya dugaan itulah keindahan yang diciptakan. Bila kita diuji, kita mengenal erti susah. Dan pada saat itu kita mula merasakan diri kita yang kerdil ini memerlukan Allah SWT, merintih, mengadu, memohon kepadaNya. Dan Allah sentiasa memberikan nikmat yang tidak putus-putus pada kita (Naziha, 2011).

            Jalan dakwah adalah jalan yang terang petunjuk-petunjuknya, lurus tujuannya, tetapi orang yang berjalan di atasnya sentiasa terdedah kepada penyelewengan (salah guna kuasa) yang boleh menjauhkan dia dari perjalanan yang betul. Ini berlaku kerana dia telah menyeleweng atau menyimpang dari jalannya ataupun dia telah merubah niatnya itu. Jika tidak sedemikian dia pasti akan berbalik ke pangkal jalan. Penyelewengan ini selalu terjadi kerana dia terlampau ghairah dan terlalu bersemangat. Dari sinilah kita mesti bersegera menyabarkan para pemuda muslimin yang merupakan bunga-bunga yang sedang mekar dari tengah-tengah gelanggang penglibatan dan perlaksanaan supaya mereka tidak tergelincir dan tidak menyeleweng kerana tidak mempunyai pengetahuan dan penerangan yang cukup. Ini perlu supaya jejak langkah mereka tidak tergelincir setelah tetap dan mantap pendiriannya, supaya mereka sempat memperbaiki urusan mereka sebelum memperbaiki urusan musuh (Masyhur, 1985).  


No comments:

Post a Comment

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..