Thursday, October 17, 2013

Prospek dan Agenda Kepimpinan Mahasiswa Siri 2 : Mendidik Aqal Budi Mahasiswa


Menurut Dato’ Saifuddin Abdullah, mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, untuk membentuk mahasiswa yang terbaik,  idealisme adalah elemen yang pertama sekali perlu ada dalam diri mahasiswa. Hal ini disebabkan seorang mahasiswa yang mana seorang manusia yang berada ditahap hebat kerana kebijakannya dan sentiasa bergelumang dengan aktiviti yang melibatkan pemikiran seperti menyiapkan tesis atau menyelesaikan projek tahun akhir. Dengan kebiasaan dan pengalaman ini, sudah tentu secara tidak langsung telah melatih mahasiswa tersebut dalam memikirkan idea-idea baru dan seterusnya mampu melahirkan ilmu-ilmu baru hasil dari kajian-kajian dan penyelidikan yang telah dilakukan. Dengan menghubungkannya kepada situasi sebenar ke lapangan masyarakat, idea-idea yang diutarakan oleh para mahasiswa adalah suatu idea yang baik, mantap, suci, terhebat dan unggul, tambahan lagi diterima ramai dan mampu membuatkan orang awam berfikir sejenak atau lebih mendalam berkenaan mesej penting dari segolongan orang yang senantiasa bergelumang dengan ilmu di sebuah gedung terbesar ilmu bagi sesuatu kawasan daerah atau Negeri tersebut. Akan tetapi peluang tersebut akan mampu memberi impak yang tinggi kepada masyarakat sekiranya idea-idea tersebut dipandu dengan ‘aqal yang telah menyambut wahyu sebuah risalah agung dari Khaliq agar ia (idea) dapat diselarikan dan disebatikan dengan kadar fithrah manusia yang sentiasa dahagakan kebenaran dan keadilan.

         Selain daripada elemen idealisme, terdapat elemen kedua yang juga sama penting dan perlu wujud dalam diri seorang mahasiswa iaitu Intelektualisme. Makna intelektualisme adalah suatu keadaan atau situasi di mana seorang intelektual atau pemikir menggunakan sepenuhnya daya ‘aqal dan memanfaatkan kemampuan berfikir demi untuk memiliki suatu ilmu pengetahuan dan jawapan kepada sesuatu persoalan atau kata lainnya yang kerap disebut sebagai Budaya Ilmu. Kenapa penting? Kegiatan memacu daya ‘aqal untuk memikirkan sesuatu penyelesaian baik dalam menghadapi permasalahan adalah suatu aktiviti yang sihat dan membantu mencerdaskan otak dari belenggu kelesuan. Dengan daya intelek, kita boleh menyelesaikan masalah, memikirkan idea-idea baru, menjawab persoalan dan apa-apa lagi kegiatan yang menggunakan ‘aqal. Dan sudah semestinya ‘aqal hendaklah sihat dari segi rohani dan jasmani. Sihat rohaninya apabila sentiasa berfikir dengan berpaksikan Risalah agung yang dibawa oleh wahyu melalui perantaraan Jibril dengan Ar-Rasul, dan Ar-Rasul menyampai dan mengajarkan kepada umatnya. Dan wahyu ini tentunya adalah kandungan ayat-ayat Allah SWT yang ditujukan khas kepada makhluknya.  Al-Khaliq adalah pencipta alam ini, menciptakan langit dan bumi serta makhluknya. Maknanya Allah SWT tahu apa makanan terbaik untuk ‘aqal agar sentiasa berfikir dengan baik dan dalam landasan yang betul. Sihat jasmaninya adalah melalui pemakanan seimbang dan mengandungi zat-zat bervitamin tinggi dan kegiatan pengurusan masa aktiviti siang dan malam kerana ini juga mempengaruhi otak yang berfikir.

        Dengan elemen ini, ia juga mampu membantu mahasiswa tersebut dalam menggerakkan agenda kepimpinan mahasiswa yang juga akan memberi impak yang tinggi dalam kalangan masyarakat awam yang sentiasa menaruhkan kepercayaannya kepada warga universiti dalam mencorakkan masa hadapan kerana kegiatan pembudayaan ilmu yang amat unggul dalam wilayah pengaruh sesebuah universiti. Hal ini dapat disokong hujahnya kerana menurut tafsiran Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud, seorang ilmuwan terkemuka di Malaysia dan juga merupakan anak murid Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, “Budaya ilmu ialah kewujudan suatu keadaan setiap lapisan masyarakat melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan pada setiap kesempatan; dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik pada tahap individu atau masyarakat, ditentukan dan diputuskan serta dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan”. 

           Ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Perumpamaan yang memberi makna bahawa setiap idea atau ilmu yang diperolehi haruslah disusuli dengan tindakan agar semua masyarakat dapat merasai manfaat dari ilmu tersebut. Oleh yang demikian, satu lagi elemen yang perlu ada pada seorang mahasiswa yang mana elemen ini menjadi kesinambungan kepada elemen-elemen sebelum ini, elemen yang ketiga ini adalah Aktivisme. Aktivisme bermaksud suatu amalan yang berteraskan tindakan keras untuk mencapai suatu tujuan. Dalam hal ini, tindakan keras yang dimaksudkan adalah menggunakan sepenuh tenaga dan segala kudrat bagi memastikan misi dan visi tersebut tercapai dan sampai kepada semua orang tanpa ada yang terkecuali.
        Satu kelebihan yang terdapat pada mahasiswa iaitu mereka ini dipelopori oleh golongan orang muda. Orang muda yang berdarah panas, sentiasa inginkan sesuatu perubahan dengan sesegera yang mungkin. Dengan dorongan sikap ini, sesuatu gerak kerja atau tindakan dapat dilakukan dengan serta merta tanpa ada keraguan lagi. Tetapi sikap ini juga harus dikawal agar setiap tindakan tidak dipengaruhi oleh emosi yang terlampau tanpa ada perancangan yang teliti, timbang-tara kesan sebelum, semasa dan selepas, memperteguh khittah (strategi) dengan baik disamping meminta nasihat dari orang-orang yang berpengalaman agar tidak melakukan kesilapan buat kali kedua (hamastul syabab wa hikmatul syuyukh). Hal ini akan menyebabkan gerak kerja tersebut tidak mendatangkan impak yang tinggi dan lebih teruk lagi jika tindakan tersebut akan mengeruhkan lagi keadaan akibat daripada gerak kerja yang tidak ada pertimbangan teliti luar dan dalam. Maka pentingnya 2 elemen tadi iaitu idealisme dan intelektualisme agar setiap keputusan yang dibuat ada hujah dan asas yang menyokong bagi memantapkan lagi sesuatu pergerakan.

           Deduksi dari ketiga-tiga elemen yang telah diterangkan di atas, ia jelas menunjukkan bahawa elemen-elemen tersebut amat penting untuk dimiliki oleh mahasiswa. Ketiga perkara penting tersebut juga telah disebut oleh mantan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau sangat menekankan aspek-aspek ini kerana pada hemat beliau, aspek inilah yang mampu memacu mahasiswa ke arah yang lebih baik dan lebih terpimpin serta boleh beraksi dengan hebat sejurus mempamerkan lagak seorang Mahasiswa. Semoga dengan tulisan saya ini mampu dicerap oleh sahabat-sahabat mahasiswa sekalian agar masyarakat sudah boleh ber-lega-hati kerana mereka dapat melihat dan menilai tentang masa depan Negara hasil dari generasi hebat dan unggul yang mereka punyai yang mana generasi seperti ini mampu mencorak masa depan dengan baik. 


Tuesday, October 15, 2013

Prospek dan Agenda Kepimpinan Mahasiswa Siri 1 : Suatu Pengenalan


Memandangkan suasana Pilihanraya Kampus (PRK) akan berlangsung tidak lama lagi, hati saya tergerak untuk mengeluarkan sebuah post entry terbaru yang saya rasa boleh memberi penjelasan khusus berkenaan misi dan visi khas seorang yang bergelar Mahasiswa. Saya juga berharap agar mana-mana mahasiswa yang akan bertanding nanti, tidak kira atas tiket grup 'pro' yang mana, mereka harus jelas tentang apakah prospek dan tugasan kepimpinan bagi seorang mahasiswa yang berkaliber dan mempunyai wibawa tinggi. Semoga dengan tulisan saya kali ini mampu memberi gambaran jelas kepada kalian. Terima atau tidak, itu bergantung dengan orang yang menilainya, kerana Negara kita mengamalkan konsep demokrasi.

       
       Universiti atau Menara Gading adalah satu Pusat Gedung Ilmu yang dihuni oleh ramai anak muda pintar yang mana telah mengerah keringat dan memerah otak sewaktu alam persekolahannya untuk mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang bagi memenuhi harapan dan cita-cita mulia mereka iaitu menjadi seorang yang bekerjaya dan dipandang oleh masyarakat atau nama popularnya yang digelar Mahasiswa. Dari sudut semantik, istilah “universiti” berasal daripada istilah Latin, iaitu universitas yang bererti “keseluruhan”, “universe”, “komuniti”. “masyarakat” atau “perbadanan”. Selain itu, uiversitas, universiti juga dikaitkan dengan studium general. Tanpa bukti tarikh yang boleh dirujuk, istilah universiti kemudian digunakan dengan meluas dalam institusi pendidikan yang mengaitkan aktiviti pengajian peringkat tinggi antara guru dangan murid. Frasa Mahasiswa pula datang daripada dua perkataan yang berbeza iaitu maha dan siswa yang mana 'maha' menggambarkan satu keadaan yang ‘teramat’ dan ‘sangat’, manakala siswa pula menerangkan tentang individu yang menuntut ilmu pada tahap yang tertinggi.

Namun begitu, terdapat isu kelesuan dalam kalangan mahasiswa apabila kurangnya penglibatan terhadap masyarakat umum dalam usaha membina dan memimpin Khayrah Ummah. Statistik jenayah yang tinggi, gejala sosial yang semakin menular, krisis gender (LGBT), krisis ‘aqidah,  dan sebagainya adalah bukti masyarakat sekarang masih dalam keadaan tunasusila yakni kehilangan moral dan kekosongan ‘aqal budi. Kewujudan masalah ini adalah kerana belia/mahasiswa yang kurang memainkan peranan dalam mendidik masyarakat.


Dalam membicarakan isu belia yang berfokuskan kepada mahasiswa, sering timbul persepsi masyarakat yang melihat golongan ini sebagai satu golongan yang kurang memberi signifikan kepada kepimpinan Negara. Golongan ini dilihat sebagai  barisan pimpinan masa depan. Namun skop pandangan tersebut agak kecil menyebabkan kita tidak dapat melihat kebolehan  atau kemampuan sebenar golongan mahasiswa. Hakikatnya, golongan ini merupakan bakal pemimpin yang lebih muda daripadanya, pemimpin bagi yang seangkatan dengannya dan rakan kepimpinan kepada barisan kepimpinan yang ada sekarang. Ironinya, persatuan-persatuan yang disertai mahasiswa didalam universiti dilihat sebagai persatuan-persatuan yang biasa seperti persatuan pelajar di sekolah menengah. Sedangkan persatuan mahasiswa merupakan satu gerakan yang didalamnya terkandung sebuah perjuangan yang sepatutnya mempunyai idealisme, intelektualisme dan aktivisme. Tiga elemen inilah yang akan ditekankan pada pembentangan di bawah tajuk prospek dan agenda kepimpinan mahasiswa.

Monday, October 14, 2013

`ID AL-ADHA: MENANGKAP MESEJ PERJUANGAN IBRAHIM `A.S.

ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!! Walillah Ilham.

Kita mengingat  nama Ibrahim `a.s. dan keluarga  dalam selawat dan tahiyyat berkali-kali saban hari. Tetapi mengingatnya di tengah aura `id al-adha terasa ada kelainannya, lebih syahdu dan lebih mengharukan. Ibrahim `a.s. adalah nama besar, nama yang disebut dalam dua puluh lima surah al-Qur'an.  

     Kisah Ibrahim `a.s. memang bukan sebuah karya fiktif,  tetapi qissah Qur'aniyyah yang kerelevanannya merentas abad, melintas jagat. Para aktivis perjuangan Islam memaknai kisah tersebut bukan sekadar lipur lara, tetapi penyerlahan legacy agung seorang Rasul pejuang kebenaran, kisah yang membawa pesan wisdom perjuangan dan pendidikan hikmah kenabian. Ibrahim `a.s. mewariskan sebuah model pendakwahan berasaskan dialog.

Beliau tidak berkhutbah secara monolog, tetapi selalu mengajak khalayak untuk berdialog dan beradu argumentasi. Dialog adalah strategi bijak untuk menggugah akal dan  merangsang orang agar berfikir. Justeru, hanya yang berakal dan yang berfikir yang dapat menghargai dan menilai kebenaran. Berhujah harus selamanya dengan akal sihat dan rasional,  bukan dengan sentimen dan emosi.

Demikianlah, kebenaran bukan untuk dipaksakan, tetapi didakwahkan dengan hujah yang meyakinkan (iqna`) akal rasional. Memang teras kekuatan dakwah bukan biaya, dan bukan juga kuasa, tetapi esensinya: kebenaran yang berasaskan hujah dan bukti. 

Kekuatan dana, kuasa  dan lain-lainnya  bukan tidak penting,  tetapi bukan kekuatan esensi hakikinya. Memang tidak semua orang bersedia menerima hujah dan kebenaran. Penghalang utamanya adalah kepentingan. Suatu yang namanya "kepentingan" itu memang dahsyat. 

Demi mempertahankannya hujah sekuat mana pun, dan kebenaran sejelas mana pun tidak akan diterimanya. Demikianlah sikap kaumnya, rajanya dan malah bapanya sendiri pun.  Hujah yang kuat dan lunak tidak dapat membangkitkan akal rasional seorang ayah yang berkepentingan sebagai seorang pengusaha industri berhala.    

Demikian juga kaum bangsanya yang kalah berhujah lalu bertindak liar, cuba menghabisinya dengan melemparkannya ke dalam api yang sedang marak,  semarak kemarahan mereka, sepanas hati mereka.  

Demikianlah, kepentingan selalu menjadikan orang hilang kewarasan, gagal melawan dengan hujah lalu mengganas, melakukan ke-brutal-an  fizikal. Begitulah yang selalu dilakukan oleh para penguasa teror sepanjang zaman, membunuh pencabar dan pengkritiknya. 

Tetapi dalam situasi seperti itulah pula terserlahnya keunggulan Ibrahim `a.s. sebagai pahlawan dakwah yang pantang menyerah, biar hangus menjadi arang,  biar hancur menjadi abu. Komitmen seorang mujahid dakwah ialah mempertahankan risalah hingga ke titisan darah terakhir. Baginya tidak ada yang lebih berharga daripada kebenaran (al-haqq) petunjuk Tuhan.

Api yang sejatinya memang panas membakar, merentung dan menghanguskan,  tiba-tiba berubah menjadi dingin,nyaman dan mesra terhadap khalil al-Rahman. Api pun ikut menyayangi Ibrahim, hamba kesayangan Tuhan. Demikian patuhnya api terhadap pesan Ilahi "selamatkan  Ibrahim!".    

Yang  sebenarnya diselamatkan tidak hanya  batang tubuh Ibrahim, tetapi juga risalah dan fikrah perjuangannya. Seperti ada pesan khusus yang tersirat di balik  peristiwa mukjizat yang mencengangkan itu: bahawa kezaliman hingga ke puncak paling dahsyat sekalipun,tidak akan mampu membunuh fikrah, idea dan idealisme yang benar dan murni.

Semarak takbir `id al-adha mengingatkan kita bagaimana Ibrahim `a.s. memaknai dua kata mulia Allahu Akbar lewat amal nyata. Allah Maha Besar, tidak ada yang lebih besar daripada Allah, Perintah-Nya dan Ajaran-Nya. Kata dikota dengan menjunjung perintah mengorbankan putera kesayangannya Isma`il `a.s.

Demikianlah catatan suatu pembuktian iman: demi Tuhan,  sanggup mengorbankan yang tersayang. Mudah-mudahan takbir kita kali ini lebih bererti.

Tulisan : Siddiq Fadzil, Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..