Monday, October 14, 2013

`ID AL-ADHA: MENANGKAP MESEJ PERJUANGAN IBRAHIM `A.S.

ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!! Walillah Ilham.

Kita mengingat  nama Ibrahim `a.s. dan keluarga  dalam selawat dan tahiyyat berkali-kali saban hari. Tetapi mengingatnya di tengah aura `id al-adha terasa ada kelainannya, lebih syahdu dan lebih mengharukan. Ibrahim `a.s. adalah nama besar, nama yang disebut dalam dua puluh lima surah al-Qur'an.  

     Kisah Ibrahim `a.s. memang bukan sebuah karya fiktif,  tetapi qissah Qur'aniyyah yang kerelevanannya merentas abad, melintas jagat. Para aktivis perjuangan Islam memaknai kisah tersebut bukan sekadar lipur lara, tetapi penyerlahan legacy agung seorang Rasul pejuang kebenaran, kisah yang membawa pesan wisdom perjuangan dan pendidikan hikmah kenabian. Ibrahim `a.s. mewariskan sebuah model pendakwahan berasaskan dialog.

Beliau tidak berkhutbah secara monolog, tetapi selalu mengajak khalayak untuk berdialog dan beradu argumentasi. Dialog adalah strategi bijak untuk menggugah akal dan  merangsang orang agar berfikir. Justeru, hanya yang berakal dan yang berfikir yang dapat menghargai dan menilai kebenaran. Berhujah harus selamanya dengan akal sihat dan rasional,  bukan dengan sentimen dan emosi.

Demikianlah, kebenaran bukan untuk dipaksakan, tetapi didakwahkan dengan hujah yang meyakinkan (iqna`) akal rasional. Memang teras kekuatan dakwah bukan biaya, dan bukan juga kuasa, tetapi esensinya: kebenaran yang berasaskan hujah dan bukti. 

Kekuatan dana, kuasa  dan lain-lainnya  bukan tidak penting,  tetapi bukan kekuatan esensi hakikinya. Memang tidak semua orang bersedia menerima hujah dan kebenaran. Penghalang utamanya adalah kepentingan. Suatu yang namanya "kepentingan" itu memang dahsyat. 

Demi mempertahankannya hujah sekuat mana pun, dan kebenaran sejelas mana pun tidak akan diterimanya. Demikianlah sikap kaumnya, rajanya dan malah bapanya sendiri pun.  Hujah yang kuat dan lunak tidak dapat membangkitkan akal rasional seorang ayah yang berkepentingan sebagai seorang pengusaha industri berhala.    

Demikian juga kaum bangsanya yang kalah berhujah lalu bertindak liar, cuba menghabisinya dengan melemparkannya ke dalam api yang sedang marak,  semarak kemarahan mereka, sepanas hati mereka.  

Demikianlah, kepentingan selalu menjadikan orang hilang kewarasan, gagal melawan dengan hujah lalu mengganas, melakukan ke-brutal-an  fizikal. Begitulah yang selalu dilakukan oleh para penguasa teror sepanjang zaman, membunuh pencabar dan pengkritiknya. 

Tetapi dalam situasi seperti itulah pula terserlahnya keunggulan Ibrahim `a.s. sebagai pahlawan dakwah yang pantang menyerah, biar hangus menjadi arang,  biar hancur menjadi abu. Komitmen seorang mujahid dakwah ialah mempertahankan risalah hingga ke titisan darah terakhir. Baginya tidak ada yang lebih berharga daripada kebenaran (al-haqq) petunjuk Tuhan.

Api yang sejatinya memang panas membakar, merentung dan menghanguskan,  tiba-tiba berubah menjadi dingin,nyaman dan mesra terhadap khalil al-Rahman. Api pun ikut menyayangi Ibrahim, hamba kesayangan Tuhan. Demikian patuhnya api terhadap pesan Ilahi "selamatkan  Ibrahim!".    

Yang  sebenarnya diselamatkan tidak hanya  batang tubuh Ibrahim, tetapi juga risalah dan fikrah perjuangannya. Seperti ada pesan khusus yang tersirat di balik  peristiwa mukjizat yang mencengangkan itu: bahawa kezaliman hingga ke puncak paling dahsyat sekalipun,tidak akan mampu membunuh fikrah, idea dan idealisme yang benar dan murni.

Semarak takbir `id al-adha mengingatkan kita bagaimana Ibrahim `a.s. memaknai dua kata mulia Allahu Akbar lewat amal nyata. Allah Maha Besar, tidak ada yang lebih besar daripada Allah, Perintah-Nya dan Ajaran-Nya. Kata dikota dengan menjunjung perintah mengorbankan putera kesayangannya Isma`il `a.s.

Demikianlah catatan suatu pembuktian iman: demi Tuhan,  sanggup mengorbankan yang tersayang. Mudah-mudahan takbir kita kali ini lebih bererti.

Tulisan : Siddiq Fadzil, Presiden, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

No comments:

Post a Comment

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..