Wednesday, September 25, 2013

Al-Amr Bi 'l-Ma`ruf Wa 'N-Nahy `Ani 'L-Munkar: Watak Dan Jati Diri Muslim

(Salinan daripada kertas kerja Dato' Dr. Siddiq Fadhil: Kuliyyah Tafsir Maudhu'iyy
Siri ke-62)



يــــــــــبنيّ أقم الصلاة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على مآأصابك، إنّ ذلك من عزم الأمور.

"Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah)."

Ayat 17 surah Luqman di atas adalah antara pesan kependidikan Luqman al-Hakim yang mengaspirasikan generasi berkualiti pengabdi Ilahi dan sekaligus memiliki kepedulian sosial yang tinggi. Generasi yang setia melaksanakan solat dan komited terhadap terhadap misi amar makruf-nahi munkar adalah generasi anak salih, agen pembinaan al-mujtama` al-salih, masyarakat bersih dalam pengertian masyarakat yang dibangun di atas nilai-nilai murni kemakrufan dan terhindar dari segala gejala kemungkaran.

      Luqman adalah penerima kurnia hikmah ketuhanan yang ditampilkan untuk mengungkapkan prinsip-prinsip pendidikan rabbani. Apabila beliau menempatkan amar makruf nahi munkar selepas perintah (pendidikan) solat, yang terkesan adalah peri pentingnya amar makruf nahi munkar sebagai salah satu prinsip asasi pendidikan. 

             Demikianlah, di mata seorang al-hakim (pemilik wisdom ketuhanan) generasi ideal yang harus dibina dalam sistem pendidikan rabbani ialah generasi God conscious yang disimbolkan dengan kata solat, generasi pejuang idealisme: menegakkan kemakrufan dan melawan kemungkaran, juga generasi yang kuat dan berdaya tahan (sabar).

          Berasaskan konteks ayat yang menyebut amar makruf nahi munkar dalam bentuk pesan kependidikan seorang ayah (Luqman) kepada anaknya, bererti bahawa ia harus disebatikan dalam diri sejak kanak-kanak. Semangat menyintai kemakrufan dan membenci kemungkaran harus dipupuk serentak dengan pendidikan solat. Dengan demikian amar makruf nahi munkar tidak hanya berupa suatu tindakan, tetapi lebih daripada itu ia adalah watak dan jati diri.

                  Dengan demikian akan lahirlah generasi yang menepati kata al-amiruna bi 'l-ma`ruf wa 'n-nahuna `ani 'l-munkar. (surah al-Tawbah: 112), iaitu mereka yang berwatak pejuang kemakrufan dan penentang kemungkaran. Demikian pentingnya amar makruf nahi munkar sehingga dijadikan komponen utama pendidikan kerana ia adalah ciri asasi dan dan jati diri umat Islam:



والمؤمنون والمؤمنات بعضهم أوليآء بعض، يأمرون بالمعروف وينهون عن المنكر ويقيمون الصلاة ويؤتون الزكاة ويطيعون الله ورسوله، اولــــئك سيرحمهم الله، إنّ الله عزيز حكيم.


"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma`ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

(Al-Tawbah:71 )



Lebih daripada itu amar makruf nahi munkar adalah syarat khayriyyatu 'l-ummah (keunggulan umat) sebagaimana yang ditegaskan dalam ayat 110 surah Ali `Imran:


كنتم خيرأمّة أخرجت للنّاس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله، ولوءا من أهل الكتاب لكان خيرا لهم، منهم المؤمنون وأكثرهم الفاسقون. 



"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."

        Ayat tersebut membawa implikasi bahawa menghilangnya amar makruf nahi munkar dari kehidupan umat, berakhirlah khayriyyah (keunggulan) mereka. Seterusnya kegagalan memenuhi komitmen amar makruf nahi munkar bererti mengundang kutukan Tuhan sebagaimana nasib yang menimpa Bani Israil:


لعن الّذين كفروا من بنى إسرآئــل على لسان داود وعيسى ابن مريم، ذلك بما عصوا وكانوا يعتدون. كانوا لايتناهون عن منكر فعلوه، لبئس ما كانوا يفعلون.

"Telah dilaknati orang-orang kafir dari Bani Israil dengan lisan Daud dan `Isa putera Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka durhaka dan selalu melampaui batas. Mereka satu sama lain selalu tidak melarang tindakan munkar yang mereka perbuat. Sesungguhnya amat buruklah apa yang selalu mereka perbuat itu." 

(Al-Ma'idah:78-79) 


       Amar makruf nahi munkar adalah penyuaraan kebenaran yang dijamin sebagai hak kebebasan bersuara. Dalam konteks masa kini ia dapat dilaksanakan dengan belbagai cara sebagaimana yang disebut oleh Wahbah al-Zuhayliy: menerusi ucapan lisan dan tulisan, lukisan dan rakaman, persuratkhabaran dan demonstrasi (al-tazahur). Dalam kaitan ini mengkritik adalah bahagian daripada amar makruf nahi munkar, termasuk mengkritik pemerintah. 

      Malah membangkang juga adalah bahagian daripada amar makruf nahi munkar jika dilakukan atas dasar melawan kemungkaran. Kerana itu Islam menjamin haqq al-mu`aradah atau hak bangkang dalam pengertian menolak kesalahan, melawan kebatilan, menegakkan kebenaran dan merealisasikan maslahah ummah dalam batasan-batasan syara`.

        Dalam tradisi politik Islam bangkangan dalam pengertian tersebut bukan hanya tidak dihalang, malah diminta oleh para penguasa, khususnya al-Khulafa' al-Rashidun seperti Abu Bakr dan Umar r.`a. yang meminta umat membetulkan mereka apabila mereka melakukan kesalahan.

     Dalam kes `Umar ibn al-Khattab r.`a. permintaannya disambut oleh seseorang dengan berkata beliau akan membetulkannya dengan pedang. Kata-kata seperti itu mungkin terasa terlalu keras, tetapi ternyata `Umar ibn al-Khattab tidak marah, malah beliau bertahmid, menyatakan kesyukuran kepada Allah kerana masih ada rakyat yang punya keberanian mengoreksi pemimpin/penguasa dengan pedang.

           Justeru, para khalifah al-Rashidun tersebut bukan jenis penguasa yang obsesif dengan kekuasaan. Dalam tradisi kepimpinan Islam yang penting bukan kuasa memegang tampuk pemerintahan, tetapi yang penting adalah terlaksananya al-khayr wa 'l-ma`ruf (kebajikan dan kemakrufan).

          Kerana itu mereka merasa dibantu dan ditolong oleh pembangkang yang ingin mengembalikan mereka ke jalan kebaikan dan kemakrufan. Melakukan perubahan sehingga terhapusnya segala rupa halangan ke arah kebajikan dan kemakrufan adalah suatu kewajipan keagamaan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat 104 surah Ali `Imran:

ولتكن منكم أمّة يدعون إلى الخير ويأمرون با لمعروف وينهون عن المنكر،وأولــئـك هم المفلحون.

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."



          Peranan korektif ini dapat dimainkan oleh umat secara kolektif, termasuk pembangkang. Kata ummah dalam ayat tersebut merujuk makna kumpulan, jamaah, organisasi atau bentuk-bentuk tindakan kolektif lainnya. Komitmen melakukan perubahan korektif itulah juga yang tersirat dalam hadith Rasulullah s.`a.w.,

من رأى منكم منكرا فليغيّره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه، فإن لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان.

Hadith tersebut menghendaki setiap warga umat Islam bertindak sebagai agen perubahan apabila wujud gejala kemungkaran atau sebarang keadaan yang menggugat maslahah umat. Untuk itu mereka harus berbuat sejauh yang termampu dengan menggunakan segala kemampuan yang dimilikinya --kuasa, suara atau sekurang-kurangnya bersikap tidak rela dengan kemungkaran. 

                Islam memberikan ruang yang cukup luas untuk umat memilih cara yang berkesan. Taghyir al-munkar (merubah kemungkaran) boleh dilakukan secara individual, dan boleh pula dilakukan secara kolektif dalam rupa gerakan kerakyatan. Dalam kaitan inilah timbulnya persoalan tentang al-muzaharat (demonstrasi) sebagai wasilah, taktik dan strategi amar makruf nahi mungkar. 

         Sebagaimana yang disebut oleh al-Shaykh `Abd al-Hafiz al-Sawiy, al-muzaharat naw`un min inkar al-munkar (demonstrasi adalah sejenis tindakan mengingkari kemungkaran). Ia adalah pendapat umat yang disuarakan secara kolektif (ta`bir jama`iy). Dalam kaitan ini perlu dicatat bahawa menyatakan pendapat menurut al-Qaradawiy adalah hak kemanusiaan (al-ta`biru haqqun insaniy).

Mengenai demonstrasi pula al-Qaradawiy menyatakan, "Seperti orang lain, kaum Muslimin juga berhak mengadakan perarakan dan demonstrasi untuk menyuarakan tuntutan-tuntutan mereka yang sah, dan untuk menyampaikan permintaan-permintaan mereka kepada pihak berkuasa dan para pembuat dasar, dengan suara yang dapat didengar dan harus didengar dan tidak boleh diabaikan. Suara individu mungkin tidak didengar, tetapi suara ramai terlalu nyaring untuk diabaikan." 

            Semakin ramai yang berdemonstrasi, apa lagi jika disertai oleh peribadi-peribadi yang berbobot, suara mereka akan lebih didengar dan lebih berkesan, kerana kehendak ramai lebih kuat daripada kehendak perseorangan. Manusia memang lemah ketika bersendirian, tetapi menjadi kuat apabila bergabung dalam kumpulan. Kerana itu Tuhan berfirman, "Dan bertolong-tolonganlah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan " -- al-Ma`idah:2."

            Demonstrasi bukan ibadat yang dasarnya adalah ittiba` (mengikut nass sepenuhnya), ia adalah sebahagian daripada umur al-dunya (urusan kehidupan duniawi) yang dasarnya adalah ibtida` (mencipta). Dari segi hukum ia termasuk di bawah kaedah al-asl fi al-ashya' al-ibahah (hukum asal segala sesuatu adalah harus). 

           Dengan demikian tidak ada sesuatu yang haram kecuali jika ada nass (yang sahih al-thubut wa sarih al-dilalah) yang mengharamkannya. Kerana itu tidak perlu dicari nass yang mengharuskan demonstrasi. Justeru, memang tidak ada nass yang mengharamkannya.

       
Demonstrasi pada hakikatnya hanyalah wasilah, jalan dan cara mencapai tujuan-tujuan tertentu (maqasid). Menurut kaedahnya, hukum wasilah didasarkan pada maqasidnya. Jika maqasidnya harus maka demikian pulalah wasilahnya, dan begitulah seterusnya. 

  Kerana itu wasilah (termasuk demonstrasi) itu sendiri tidak haram (lam takun muharramatan fi dhatiha). Halal dan haramnya tergantung maksud dan objektif yang hendak dicapai. Fatwa adalah ilmu dan amanah. Kerana itu ia harus diputuskan dengan teliti, berhati-hati dan penuh rasa tanggungjawab, jangan sampai mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.  

No comments:

Post a Comment

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..