Friday, September 20, 2013

Iman dan Pembinaan Watak Pejuang: Menangkap Semangat Surah At-Tawbah: 38-42

(Salinan daripada kertas kerja Dato’ Dr. Siddiq Fadhil: Kuliyah Tafsir Maudhu’iyy Siri ke-59) 

 38. Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. 

39. jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah -membela ugamanya), Allah akan menyeksa kamu Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya dan ia akan menggantikan kamu Dengan kaum Yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. 

 40. kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka Sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, Iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di Dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah Engkau berdukacita, Sesungguhnya Allah bersama kita". maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya Dengan bantuan tentera (malaikat) Yang kamu tidak melihatnya. dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang- orang kafir terkebawah (kalah Dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah Yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. 

 41. Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. 42. kalau apa Yang Engkau serukan kepada mereka (Wahai Muhammad) sesuatu Yang berfaedah Yang sudah didapati, dan satu perjalanan Yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat Yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. dan mereka akan bersumpah Dengan nama Allah Dengan berkata: "Kalau Kami sanggup, tentulah Kami akan pergi bersama kamu". (dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui Bahawa Sesungguhnya mereka itu orang-orang Yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hilang kepedulian terhadap panggilan perjuangan bukan sifat mukmin sejati. Demikianlah ayat 38, surah al-Tawbah memaknai iman. Mereka yang imannya kental dengan dinamika hayawiyyah, yang imannya hidup dan aktif pasti tersentak apabila menerima panggilan "Wahai orang-orang yang beriman…". Justeru, iman adalah keyakinannya yang terdalam, dan pendirian hidupnya yang paling mendasar. Memilih untuk beriman adalah keputusan terbesar yang dibuat dengan serius dan penuh kesedaran, termasuk kesedaran tentang erti, implikasi dan tuntutannya. Kesedaran itulah pula yang menjadikannya sentiasa responsif setiap kali menerima perintah Ilahi yang selalu disebut berurutan dengan panggilan "Wahai orang-orang yang beriman…". Kerana itu ungkapan "Ya ayyuha'lladhina amanu…" seharusnya disikapi dengan berghairah dan bersemangat siap melaksanakan perintah.

          Ayat tersebut terasa membawakan nada kesal terhadap gejala kelesuan iman. Demikian lesunya sehingga tidak lagi responsif, dan mulai hilang kepedulian terhadap panggilan perjuangan. Perjuangan (mendaulatkan agama Allah) tidak lagi dilihat sebagai peluang keemasan meraih kurnia tinggi ukhrawi, tetapi sudah mulai dipersepsikan sebagai suatu yang menyusahkan, menakutkan dan tidak menjanjikan suatu yang bererti. Mentaliti tidak mahu bersusah-payah mulai tumbuh. Idealisme ukhrawi menjadi lesu dan layu dalam ghairah dan serakah nafsu terhadap nikmat segera materi duniawi. Ayat berbentuk pertanyaan ma lakum… (apa sudah jadi kepada kalian…?) mengesankan suatu kejutan yang menyedarkan tentang iman --hakikat dan implikasinya. Iman yang tulen tidak menjelmakan watak penakut, pemalas dan bermentaliti short termist. Iman dalam erti sejatinya adalah keyakinan, perjuangan dan pengorbanan demi Ilahi untuk masa depan ukhrawi yang hakiki dan abadi. 

           Perang Tabuk yang melatari penurunan ayat-ayat al-Tawbah itu adalah ujian keutuhan dan ketulenan iman dalam pengertian tersebut. Komitmen perjuangan diuji dengan perintah tampil di medan perang melawan kuasa besar dunia (Rom), di lokasi yang jauh di luar kota, pada musim panas terik; dan ketika itu pulalah buah-buahan di Madinah sedang masak ranum, musim memetik telah tiba. Suasana sedemikian itulah yang menyebabkan sebahagian warga Madinah berasa berat untuk berangkat. Mereka menjadi malas, dan sebahagiannya mencari-cari helah untuk melepaskan diri dari kewajipan berperang. Padanlah sikap kebendaan, lemah dan pengecut seperti itu mendapat reaksi dari langit dengan pertanyaan kesal, "Apa sudah jadi kepada kalian…?". Orang mukmin tidak sewajarnya bersikap, membuat keputusan atau pilihan yang merugikan diri sendiri. Iman apa dan mukmin apa yang memilih mata`u 'd-dunya yang rendah dan murah, dengan mengenepikan kurnia ukhrawi yang lebih tinggi, lebih hakiki, lebih bererti dan lebih abadi?. 

          Mereka seterusnya diperingatkan tentang bahaya berlakunya sunnatu 'Llah ke atas umat yang kematian daya juang, yang tidak mahu dan tidak mampu melaksanakan amanah perjuangan mendaulatkan kalimat Allah. Mereka akan ditimpa bencana besar yang menamatkan riwayat mereka sebagai umat; dan Tuhan akan tampilkan umat lain atau generasi lain yang komited dan layak mengambil alih tanggungjawab perjuangan menegakkan agama Allah. Amaran keras ini bukan lagi sekadar suatu kemungkinan, tetapi suatu kepastian kerana sunnatu 'Llah tidak pernah dan tidak akan pernah berubah. Begitulah cara Tuhan bertindak ke atas umat yang lari dari tanggungjawab. Yang rugi adalah mereka sendiri, bukan Tuhan, dan bukan juga Rasul-Nya. Tuhan Maha Berkuasa mengunggulkan agama-Nya dan memenangkan Rasul-Nya dengan cara-cara yang dikehendaki-Nya. 

        Ternyata bagi kaum mukminin, menjadi orang perjuangan bukan suatu pilihan, tetapi suatu syarat survival. Terserah, mahu menyahut panggilan perjuangan atau tidak. Agenda Tuhan tetap berjalan, dan Rasul-Nya akan dimenangkan dengan atau tanpa penyertaan mereka. Dahulu, ketika orang-orang kafir Makkah memburunya dalam peristiwa Hijrah, Rasulullah s.`a.w. bersembunyi di gua Thawr dengan hanya ditemani oleh seorang sahabat kepercayaannya, Abu Bakr al-Siddiq r.`a. yang dalam ayat ini disebut thaniya 'thnayn. Siapa yang menolongnya, siapa yang memberikannya kedamaian dan perlindungan hingga tiba di destinasi al-Madinat al-Munawwarah dengan selamat? Tuhan sendirilah yang mendampingi mereka. Setiap gerak dan setiap detik mereka berada dalam ma`iyyatu `Llah, kebersamaan dengan Allah. Memang Allah selamanya Maha Berkuasa menolong dan memenangkan Rasul-Nya kerana Ia memiliki bala tentera perkasa yang tidak kelihatan. Segalanya itu telah terbukti nyata di depan mata: faham dan nilai-nilai tradisi kafir jahili jatuh merudum, sedang agama Allah terjulang gemilang. Demikianlah jelmaan keperkasaan dan kebijaksanaan Tuhan yang Maha `Aziz, mampu melakukan apa sahaja; dan Maha Hakim, benar dan tepat segala kata dan perbuatan-Nya. 

           Ayat 41 dengan tegas memerintahkan mereka semuanya tampil ke medan tempur, tanpa kecuali, berat atau ringan, tua atau muda. Itulah ketikanya Allah tidak mahu melayani sebarang alasan menguzurkan diri. Dengan kata khifafan wa thiqalan (ringan atau berat) tertutuplah segala ruang pengecualian. Dalam masyarakat kaum mukminin setiap orang adalah pejuang yang sentiasa siap menyerahkan harta-benda dan jiwa-raganya demi menegakkan kebenaran dan keadilan agama Allah. Mereka cukup menyedari bahawa perjuangan di jalan Allah sama sekali bukan penderaan dan bukan beban yang menyusahkan, tetapi suatu tawaran peluang istimewa meraih keuntungan yang tidak ternilai. Tidak ada istilah rugi dalam kamus perjuangan mendaulatkan agama Allah. Seorang perwira di medan jihad hanya berhadapan dengan salah satu dari dua keuntungan: meraih shahadah (gugur syahid) yang membawanya ke syurga, atau pulang dengan pahala dan ghanimah. Memang tidak semua orang tahu tentang hakikat betapa beruntungnya menjadi pejuang. Yang tahu hanya mereka yang beriman dengan kehidupan ukhrawi, mereka yang meyakini nikmat syurgawi. 

             Ayat seterusnya mendedahkan sifat opportunist dan materialistiknya kaum munafiqin yang datang dengan seribu dalih untuk tidak menyertai angkatan mujahidin yang berangkat ke medan perang. Segala keuzuran mereka adalah pembohongan belaka. Pura-pura sakit, walhal sebenarnya mereka segar bugar; pura-pura tidak memiliki biaya, walhal sebenarnya mereka kaya raya. Sebab sebenar ketidaksediaan mereka ikut serta adalah kerana jauhnya perjalanan dan teriknya bahang musim panas ketika itu. Hakikat kemunafikan inilah yang didedahkan oleh al-Qur'an: andainya mereka diajak mengaut keuntungan kebendaan yang mewah dan mudah, jaraknya dekat dan waktunya singkat, pasti mereka akan bergegas meluru dan menyerbunya. Dasar munafik opportunist! 

         Sekembalinya Rasulullah s.`a.w. dari medan perang Tabuk, mereka mendatangi Junjungan s.a.w. dengan berpura-pura kesal dan sedih tidak dapat ikut berjuang kerana keuzuran. Untuk menjadikan lakunan mereka lebih mengesankan mereka bersumpah dengan Nama Allah, "Kalaulah tidak kerana berhalangan, pasti kami telah ikut menyertai kalian ke medan perang!". Demikianlah selamanya, bersumpah adalah akal munafik menutupi kebohongan. Mereka sendiri tahu pembohongan itu tidak dapat dipercaya, dan kerana itu mereka bersumpah dengan harapan akan dipercaya. Ayat al-Tawbah ini dengan jelas dan tegas menyebut bahawa sumpah bohong akan membawa padah kehancuran. Ia adalah suatu ketololan yang merosak diri. Sumpah bohong hanya akan lebih memperparah kebejatan moral-spiritual mereka. Andainya sumpah bohong itu berjaya menipu orang, tetapi pada hakikatnya yang paling tertipu adalah diri sendiri. Allah yang Nama-Nya dipakai untuk bersumpah bohong itu tahu bahawa mereka adalah pembohong. Tuhan yang mengetahui kebohongan mereka itu sendiri yang berkata, "yuhlikuna anfusahum…(mereka membinasakan diri sendiri)", lalu mahu lari ke mana? 

       Masyarakat berbudaya sumpah adalah masyarakat yang ditimpa krisis kepercayaan. Apabila berbohong sudah dianggap hal yang biasa sehingga menjadi budaya, maka terwujudlah sikap saling tidak percaya. Tidak siapa pun yang percaya kepada siapa-siapa. Dalam keadaan seperti itulah terbentuknya masyarakat hallaf, iaitu masyarakat yang berbudaya sumpah. Tetapi apabila terlalu banyak bersumpah, sudahnya sumpah pun tidak lagi dipercaya. Masyarakat mukmin adalah masyarakat yang mengamalkan budaya berkata benar, masyarakat amanah, berintegriti dan berwibawa. Kerana itu wujud sikap saling percaya di kalangan warganya. 

           Masyarakat mukmin juga adalah masyarakat idealis, masyarakat pejuang dan masyarakat yang berani menghadapi risiko. Ia bukan masyarakat penakut, short termist, opportunist, materialist. Seluruh warga umat, terutama generasi mudanya harus diorientasikan dengan semangat dan komitmen perjuangan. Untuk itu harus ada kesediaan untuk melawan gejala pembunuhan idealisme (penegakan nilai-nilai murni kebenaran, keadilan, hak asasi, demokrasi dll.), melawan politik pembohongan dan pembodohan, melawan usaha jahat melumpuhkan semangat dan daya juang umat. Amalan politik menabur gula-gula, mempedaya rakyat dengan umpan-umpan kebendaan, dan melemaskan generasi muda dalam arus budaya hiburan gila-gila adalah bahaya besar yang akan berhujung pada tragedi the death of idealism atau kematian idealisme. Demikian juga dengan kehidupan yang dikuasai budaya takut (culture of fear) yang akan menciptakan umat pengecut, dan generasi bermentaliti kalah. Apabila keadaan itu terjadi, berakhirlah riwayat satu umat, dan bersiaplah untuk menerima ketentuan sunnatu 'Llah: petaka kehancuran dan penampilan umat pengganti, "Generasi anak jantan yang berani mati di gelanggang".

No comments:

Post a Comment

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..