
Selain
daripada elemen idealisme, terdapat
elemen kedua yang juga sama penting dan perlu wujud dalam diri seorang
mahasiswa iaitu Intelektualisme. Makna intelektualisme adalah suatu keadaan
atau situasi di mana seorang intelektual atau pemikir menggunakan sepenuhnya
daya ‘aqal dan memanfaatkan kemampuan berfikir demi untuk memiliki suatu ilmu
pengetahuan dan jawapan kepada sesuatu persoalan atau kata lainnya yang kerap
disebut sebagai Budaya Ilmu. Kenapa
penting? Kegiatan memacu daya ‘aqal untuk memikirkan sesuatu penyelesaian baik dalam
menghadapi permasalahan adalah suatu aktiviti yang sihat dan membantu
mencerdaskan otak dari belenggu kelesuan. Dengan daya intelek, kita boleh
menyelesaikan masalah, memikirkan idea-idea baru, menjawab persoalan dan
apa-apa lagi kegiatan yang menggunakan ‘aqal. Dan sudah semestinya ‘aqal
hendaklah sihat dari segi rohani dan jasmani. Sihat rohaninya apabila sentiasa
berfikir dengan berpaksikan Risalah agung yang dibawa oleh wahyu melalui
perantaraan Jibril dengan Ar-Rasul, dan Ar-Rasul menyampai dan mengajarkan
kepada umatnya. Dan wahyu ini tentunya adalah kandungan ayat-ayat Allah SWT
yang ditujukan khas kepada makhluknya. Al-Khaliq
adalah pencipta alam ini, menciptakan langit dan bumi serta makhluknya.
Maknanya Allah SWT tahu apa makanan terbaik untuk ‘aqal agar sentiasa berfikir
dengan baik dan dalam landasan yang betul. Sihat jasmaninya adalah melalui
pemakanan seimbang dan mengandungi zat-zat bervitamin tinggi dan kegiatan
pengurusan masa aktiviti siang dan malam kerana ini juga mempengaruhi otak yang
berfikir.

Ilmu
tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah. Perumpamaan yang memberi makna
bahawa setiap idea atau ilmu yang diperolehi haruslah disusuli dengan tindakan
agar semua masyarakat dapat merasai manfaat dari ilmu tersebut. Oleh yang
demikian, satu lagi elemen yang perlu ada pada seorang mahasiswa yang mana
elemen ini menjadi kesinambungan kepada elemen-elemen sebelum ini, elemen yang
ketiga ini adalah Aktivisme. Aktivisme bermaksud suatu amalan yang berteraskan
tindakan keras untuk mencapai suatu tujuan. Dalam hal ini, tindakan keras yang
dimaksudkan adalah menggunakan sepenuh tenaga dan segala kudrat bagi memastikan
misi dan visi tersebut tercapai dan sampai kepada semua orang tanpa ada yang
terkecuali.
Satu kelebihan yang terdapat
pada mahasiswa iaitu mereka ini dipelopori oleh golongan orang muda. Orang muda
yang berdarah panas, sentiasa inginkan sesuatu perubahan dengan sesegera yang
mungkin. Dengan dorongan sikap ini, sesuatu gerak kerja atau tindakan dapat
dilakukan dengan serta merta tanpa ada keraguan lagi. Tetapi sikap ini juga
harus dikawal agar setiap tindakan tidak dipengaruhi oleh emosi yang terlampau
tanpa ada perancangan yang teliti, timbang-tara kesan sebelum, semasa dan
selepas, memperteguh khittah (strategi)
dengan baik disamping meminta nasihat dari orang-orang yang berpengalaman agar
tidak melakukan kesilapan buat kali kedua (hamastul
syabab wa hikmatul syuyukh). Hal ini akan menyebabkan gerak kerja tersebut
tidak mendatangkan impak yang tinggi dan lebih teruk lagi jika tindakan
tersebut akan mengeruhkan lagi keadaan akibat daripada gerak kerja yang tidak
ada pertimbangan teliti luar dan dalam. Maka pentingnya 2 elemen tadi iaitu
idealisme dan intelektualisme agar setiap keputusan yang dibuat ada hujah dan asas
yang menyokong bagi memantapkan lagi sesuatu pergerakan.
Deduksi dari
ketiga-tiga elemen yang telah diterangkan di atas, ia jelas menunjukkan bahawa
elemen-elemen tersebut amat penting untuk dimiliki oleh mahasiswa. Ketiga perkara
penting tersebut juga telah disebut oleh mantan Timbalan Menteri Pengajian
Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah. Beliau sangat menekankan aspek-aspek ini
kerana pada hemat beliau, aspek inilah yang mampu memacu mahasiswa ke arah yang
lebih baik dan lebih terpimpin serta boleh beraksi dengan hebat sejurus
mempamerkan lagak seorang Mahasiswa. Semoga dengan tulisan saya ini mampu
dicerap oleh sahabat-sahabat mahasiswa sekalian agar masyarakat sudah boleh ber-lega-hati kerana mereka dapat melihat
dan menilai tentang masa depan Negara hasil dari generasi hebat dan unggul yang
mereka punyai yang mana generasi seperti ini mampu mencorak masa depan dengan
baik.