Sunday, September 18, 2011

Hati Dan Dimensi Dalaman - Siri I

Assalamualaikum w.b.t, bertitik-tolak daripada tajuk perbincangan yang telah dibincangkan iaitu perihal kesedaran tentang tanggungjawab seorang insan Muslim sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, penulis ingin membawa saudara semua untuk mengenali dan memahami tentang hati secara lebih mendalam lagi kerana sepanjang perjalanan dalam menjalankan tanggungjawab dan melalui marhalah dakwah ini, pelbagai cabaran dan rintangan harus ditempuhi dalam keadaan yg sentiasa bersedia. Dan untuk menyediakan diri bagi mengharungi cabaran hidup ini, satu-satunya faktor penting yang harus kita kenali, fahami dan ambil peduli adalah kekuatan dalaman hati. Kerana hatilah yang akan mengawal diri terhadap setiap percakapan dan perbuatan seorang insan.Oleh itu, saya mengajak saudara untuk membincangkan perihal hati dan dimensi dalamannya di mana saya mengambil rujukan daripada salah seorang penulis majalah Al-Hikmah terbitan ISTAC (International Institute of Islamic Thoungt and Civilization) iaitu saudara Abdul Latif Abdul Razak yang mengambil pandangan kira dari seorang tokoh ulama’ Al-Hakim Al-Tirmidhi.

Menurut al-Tirmidhi, hati insan mempunyai pelbagai dimensi dalaman, tetapi ada empat sahaja yang mampu diungkapkan melalui kata-kata iaitu Sadr, Qalb, Fu’ad dan Lubb. Keempat-empat dimensi ini, walaupun berlainan, ia saling berkaitan antara satu sama lain. Berikut adalah susunan kedudukan dimensi-dimensi tersebut:

AL-SADR --> AL-QALB --> AL-FU'AD --> AL-LUBB


Al-Sadr : Sadr adalah perkataan arab apabila diterjemahkan bermaksud hadapan atau permulaan sesuatu perkara. Maknanya kedudukan Sadr sebagai dimensi paling luar bagi hati adalah bertepatan dengan maksudnya. Dalam sistem psiklogi keruhanian al-Tirmidhi, Sadr merupakan laman kepada nafsu kehaiwanan dan Qalb, yang sentiasa bertentangan antara satu sama lain. Penguasaan Qalb ke atas nafsu kehaiwanan boleh menghasilkan sesuatu yang baik, dan begitu juga sebaliknya. Menurut al-Tirmidhi lagi, Sadr, merupakan satu-satunya dimensi yang boleh ditembusi oleh nafsu batin. Berdasarkan banyak ayat-ayat suci al-Quran, al-Tirmidhi telah membuat kesimpulan berkenaan sifat Sadr, iaitu lapang dan sempit. Sekiranya ia lapang kepada kebaikan, maka ia sempit untuk kejahatan, begitu juga sebaliknya.

Al-Qalb : Dalam sistem psikologi al-Tirmmidhi, Qalb adalah dimensi kedua hati selepas Sadr. Ia juga merupakan sumber pancaran cahaya iman, taqwa, khusyu’, mahabbah, yaqin, khawf, dan qana’ah. Selain itu, ia juga sumber pancaran cahaa ketenangan, kelembutan dan kesucian. Qalb juga adalah peti simpanan ilmu dalaman yang diperolehi melalui ilham yang dilemparkan ke dalam Qalb. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan apa yang diketahuinya,, nescaya Allah akan menganugerahkan ilmu yang tidak diketahuinya. Ilmu-ilmu ini sampai ke Qalb, melalui saluran dalaman, iaitu Lubb dan Fu’ad. Al-Tirmidhi menulis:

Segala ilmu yang dibawa oleh nafsu dan dipelajari oleh Sadr akan menjadikan nafsu bertambah angkuh dan sombong, seterusnya menolak kebenaran. Nafsu, bila bertambah ilmunya, maka bertambahlah keegoan dan cemburunya. Tidak bertolak ansurkepada ilmu luaran umpama tidak tolak ansurnya kepada harta… Segala ilmu, termasuk syari’ah yang dipelajari hanya sekadar untuk tujuan melaksanakan undang-undang, untuk mengajar, sekadar mengelakkan kejahilan, untuk mengetahui hukuman yang digariskan oleh agama dan sekadar melaksanakan secara luaran adalah kecil nilainya melainkan Allah menurunkan kepada seseorang itu ilmu dalaman, ilmu yang benar-benar berharga. Lantaran ilmu sedemikian yang murah nilainya, maka (tidak hairanlah) pemiliknya akan membeli dengannya sesuatu yang murah pula, lantaran itu ia menolak ketaatan kepada Tuhan.


Qalb merupakan sesuatu yang amat berharga. Ia perlu dijaga dan dipelihara agar cahayanya terus mampu menyinari Sadr kerana cahaya ketaqwaan bersinar dari dalam Qalb.

1 comment:

Post a Comment

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..