Monday, July 27, 2009

Fahaman Barat Yang Keliru.

Bismillahirrahmanirrahim…

Apabila kita menelusuri kembali tentang perjuangan Sultan Muhammad Al-Fatih, salah satu aspek yang dijadikan tonggak utama pemerintahannya ialah mengutamakan budaya ilmu sehinggalah beliau telah berjaya menawan kota kebanggaan orang-orang Kristian pada masa itu iaitu kota “Konstantinople” ataupun Istanbul. Rakyat Al-Fatih pada masa itu telah mencapai rakyat yang terbaik adalah kerana amalan tradisi keilmuan yang berkembang serta menjadi budaya dalam masyarakat ketika itu. Jadi,seharusnya kita mencontohi amalan tersebut agar kita mencapai tahap Khayra Ummah (Umat yang terbaik). Oleh itu, marilah kita bersama sentiasa menganjurkan budaya berdiskusi tentang ilmu dan masyarakat agar kita dapat mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku terhadap ummat pada masa kini. Insya’Allah…

Bertitik-tolak dari pengalaman Sultan Al-Fatih di Turki, maka pada 25 Julai 2009/ 3 Sya’aban 1430H yang lalu, ABIM Sabah telah menganjurkan Seminar “Risalah Untuk Kaum Muslimin” yang bertemakan “Memugar Risalah, Memperkasa Ummah” sempena Muktamar Sanawi ABIM Sabah yang ke-27 bertempat di Teater Mini Tun Hamdan, Kota Kinabalu. Salah satu tujuan seminar ini dianjurkan adalah untuk menyelami pemikiran tokoh ilmuan terkenal iaitu Yang Mulia Prof.Dr.Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Lima orang pembentang kertas kerja telah dijemput untuk membentangkan topik-topik yang berkaitan dengan tema seminar tersebut. Antaranya ialah Dr. Khalif Muammar A.Harris, Dr.Mohd.Farid Mohd. Shahran, Dr.Mohd. Zaidi Ismail, Dr.Mohd. Sani Badron dan Dr.Amran Muhammad yang mana mereka ini semua adalah anak-anak murid Prof. Al-Attas di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).
Sukacita ingin saya berkongsi dengan saudara sekalian tentang pengisian perbincangan pada seminar tersebut. Oleh itu,diskusi kali ini adalah saya ingin membawa saudara dan saudari agar menyedari perihal masalah ummat Islam yang telah dipengaruhi Barat sekaligus mempengaruhi cendikiawan-cendikiawan Islam agar bersama menganjurkan fahaman “Sekularisme” dan “Liberalisme”. Saya bawa saudara untuk berbicara hal ini kerana kita telah melihat akan masalah segelintir umat Islam yang telah terpengaruh dengan ideologi Barat dan dengan berani menyebarkan fahaman ini secara terbuka kepada seluruh penghuni bumi ini dan khususnya umat Islam, di mana sistem pembaratan yang amat kuat sudah menular dan hampir merata dalam kalangan negara-negra umat Islam dan gelombang ini sudah menjadi krisis yang amat serius terhadap umat Islam masa kini.


Kemunculan fahaman sekular dan liberal ini adalah berpunca daripada dualisme yang menjadi punca kerosakan ilmu dan seterusnya mempengaruhi epistemologi Barat yang menyebabkan epistemologi mereka sudah lari daripada kebenaran. Dualisme menurut Al-Attas telah menjadi karakter worldview (pandangan dunia) dan sistem peradaban Barat. Dualisme berlaku apabila dua perkara dilihat bertentangan, terpisah dan tidak dapat disatukan secara harmoni. Jadi, apabila dualisme telah mmpengaruhi Barat, maka fahaman sekularisme dan liberalisme sudah tentu telah rosak dan menyimpang jauh dari kebenaran.

Oleh itu, epistemologi Barat telah mngangkat kekeliruan atau keraguan menjadi kaedah epistemologi yang mana melaluinya segala ilmu dan kebenaran diperolehi. Oleh kerana epistemologi Barat selalu diakhiri dengan kekeliruan dan skeptisisme, maka tidak hairanlah pelbagai idealisme tidak jelas dan menyimpang dari Barat seperti agnotisme, ateisme, utilitarianisme dan evolusionisme muncul dari para cendikiawan Barat yang mereka sendiri pun keliru dan ragu-ragu akan idea mereka yang tidak jelas itu kerana segala hujah dan epistemologi mereka tidak berlandaskan apa-apa sumber yang diyakini dan lari daripada kebenaran kerana menurut Al-Attas, peradaban Barat berpegang sepenuhnya kepada akal rasional dalam merungkai segala persoalan, dan menurut beliau, ia adalah satu bentuk pendewaan manusia iaitu mengagung-agungkan manusia dan manusia itu adalah manusia sekular dan manusia sekular yang tulen ialah manusia Barat. Maka berlakunya westernisasi ilmu, maka menurut beliau perlunya dewesternisasi ilmu.

Modernisme yang menegaskan objektivisme kini dirombak oleh pascamodenisme yang mengagungkan relativisme dan subjektivisme. Bertrand Russell menegaskan pandangan falsafah Barat terhadap ilmu dengan mengatakan bahawa “All knowledge is more or less uncertain and more or less vague”. Dalam kesimpulan Russell juga mengatakan bahawa ilmu adalah produk keraguan. Kerana kekeliruan menjadi asas penimbaan ilmu ini maka manusia dalam falsafah Barat tidak akan dapat mencapai kepastian. Kerangka epistimologi yang sekular ini menyebabkan sesuatu yang dianggap ilmu dalam kerangka pemikiran Barat tidak semestinya ianya adalah ilmu, tetapi ia boleh dikatakan sebagai pseudo knowledge (ilmu palsu). Kekeliruan ini berlaku disebabkan oleh peminggiran sumber ilmu yang utama dan diyakini iaitu wahyu, dan kerana itu manusia tidak dapat mencari jawapan yang sebenar ataupun mengetahui ilmu dan perkara yang pasti.

Masalah besar ini dialami oleh ilmu kotemporari Barat adalah kerana timbulnya ketidaksefahaman dan pertentangan antara pihak Gereja dan ahli falsafah Barat. Para failasuf Barat menimbulkan ketidakpercayaan mereka terhadap agama. Hal ini berkait rapat dengan sikap para sarjana Barat yang menganggap bahawa Tuhan dan agama adalah mitos dan hanya ilusi semata-mata padahal Tuhan tentunya bukan khayalan, mitos atau berubah seiring dengan perubahan zaman. Bagi Al-Attas Tuhan adalah hakikat semata-mata. Di sinilah berlakunya pertembungan antara pandangan alam sekular dengan pandangan alam yang bersumberkan kepada tanzil(wahyu). Akibat daripada pensekularan ini, maka realiti kerohanian dan kebenaran pada zaman moden adalah bercirikan ketidakpastian. Hal ini berlaku seiring dengan kecenderungan masyarakat moden yang hilang minat terhadap agama (Kristian) dan menumpukan kepada ilmu-ilmu sains. Menurut Al-Attas, sikap terhadap agama inilah yang menyebabkan masyarakat Barat mendewakan manusia dan memanusiakan Tuhan (man is deified and Deity humanized). Dan akibat sikap tidak percaya terhadap agama ini maka segala konsepsi terhadap alam realiti dan epistemologi Barat menjadi sekular dan bersifat materialistik. Oleh kerana ini, orang-orang Barat hidup dalam kesengsaraan kerana kehidupan mereka tidak mempunyai matlamat yang pasti. Dan sebab inilah apabila kita menonton televisyen, khususnya dalam arena sukan, mereka menganjurkan extreme-sport sehingga melibatkan risiko nyawa mereka sendiri kerana ingin mencari keseronokan bagi melupakan hidup mereka yang sebenarnya sengsara akibat ketidakadaan matlamat dalam kehidupan.

Maka dengan kekeliruan ini, Al-Attas dapat menyimpulkan pandangan alam Barat kepada lima perkara yang juga mendefinisikan peradaban Barat iaitu: Pertama, kepercayaan mutlak kepada akal nazari (rasional) sebagai panduan alam kehidupan; Kedua, pandangan dualistik terhadap realiti dan kebenaran; Ketiga, penerimaan aspek kedisinikinian sehingga memancarkan pandangan alam sekular; Keempat, penerimaan doktrin humanisme; Kelima, menjadikan drama dan tragedi sebagai nyata dan sangat berpengaruh kepada hakikat manusia dan kejadian.
Al-Attas telah mengemukakan semua premis beliau yang membawa kesimpulan bahawa dewesternisasi dan desekularisasi terhadap ilmu-ilmu kontemporari adalah satu kemestian. Atas dasar inilah Al-Attas membangunkan gagasan Islamisasi ilmu yang seringkali dikaitkan dengan idea desekularisasi dan dewesternisasi. Al-Attas telah membuktikan bahawa dualisme yang menjadi ciri khas pandangan alam Barat yang menyebabkan kekeliruan dalam memahami realiti dan kebenaran. Pendewaan terhadap akal nazari (rasionalisme dan empirisisme) berlaku seiring dengan peminggiran yang sistematik terhadap agama dan metafizik. Konsepsi Barat tentang manusia, ilmu, pembangunan, kebahagiaan, agama, Tuhan dan lain-lain adalah mengelirukan, meragukan dan merosakkan. Sehingga sesiapa yang menerimanya akan ikut mengalami bencana dan malapetaka yang besar yang sedikit demi sedikit akan meruntuhkan peradaban manusia yang sebenar.

Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu Ahlulsunnah Wal Jamaah agar aqidah kita sentiasa berada di landasan yang betul. Di samping itu, kita juga disarankan agar sentiasa berwaspada dengan ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang tidak benar seperti sekularisme dan liberalisme kerana para sekularis dan liberalis ini sentiasa mencari jalan untuk meramaikan pengikut mereka sehinggakan munculnya Islam Sekular dan Islam Liberal yang sudah menyimpang jauh dari kebenaran dan fahaman serta epistemologi pasti yang berasaskan sumber yang sah, diyakini dan tanzil iaitu Wahyu dari Tuhan yang Maha Benar iaitu Allah s.w.t. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Born Day

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Tasbih Kafarah..

Photobucket

I am Who I am..